Dia memandang gadis itu tanpa jemu. Suasana halaman rumah yang penuh dengan riuh rendah ketawa dan usik mengusik serta jerit pekik kegembiraan oleh kanak-kanak yang berlari bersama bunga api bekejaran sesama sendiri langsung tidak mengganggu tumpuannya membuang pandang kepada gadis yang sakan bergelak ketawa menyakat makcik – makcik tanpa rasa jemu. Dengan rambutnya yang keperangan paras bahu diikat tocang kelapa satu membuatkan gadis itu tampak comel pada pandangannya. Kedudukannya yang tidak jauh dari periuk merebus ketupat di mana gadis itu bersimpuh menjadikan jelas kelihatan riak wajah kegembiraan gadis itu walaupun sesekali tangannya mengesat peluh yang merembes hebat dari wajah yang kemerahan kerana kepanasan. Dia tersenyum lagi. Comelnya. Dia menepuk dadanya perlahan, memujuk hatinya yang bergendang hebat.
“ Assalamualaikum....” Jeritan gadis itu memecah keheningan rumah kampung dua tingkat itu. Dia hanya memandang wajah Ilyas Benjamin yang hanya tersengih kepadanya. Sengihan itu turut dibalas dengan sengihan juga dek kerana kepenatan.
“ Assalamualaikum... Ibu... oh... Ibu... Anak Ibu balik ni. Makpah...” Si gadis masih tidak penat melaung. Beg sandangnya sudah dihumban ke tepi.
“ Babe, Ibu dengan Makpah mesti kat belakang la. Yang kau melalak macam nak terkeluar anak tekak ni tak penat ke? Ke tak puasa hari ni?” Beg yang dibaling tadi dikutip semula sebelum dicampak kepada Ilyas Benjamin. Wajah gadis itu yang cemberut mengundang senyum tipis darinya.
“ Encik Bayu takpe ke? Rumah kami ni rumah kampung je.” Dia tersenyum.
“ Takpe. Tak perlu berInche-Inche dengan saya. Bukan kat ofis pun.” Iylas Benjamin tersengih.
“ Jemputlah Bayu. Tu budak sekolah tu dah menonong je ke belakang rumah.” Dia ketawa kecil apabila melihat si gadis sudahpun mencecet meninggalkan mereka. Ilyas Benjamin menggeleng kepala. Beg sandang yang dihumban ke tanah tadi dikutip, lalu kakinya melangkah menuju ke belakang rumah yang sudah riuh rendah bunyinya.
“ Keluarga saya ramai pula tahun ni. Murah rezeki raya kali ni.” Dia tersenyum sambil mengangguk kepala. Tidak jauh, kelihatan si gadis itu memeluk erah seorang wanita separuh umur. Itulah Ibu kot.
“ Aik Ibu? Eme saja kah? Anak sendiri dah lupa?” Ilyas Benjamin tersengih apabila dia dihadiahkan jelingan tajam dari wanita yang dipanggil Ibu.
“ Ibu rindu semua anak-anak Ibu. Kamu tu je yang lupa Ibu.”
“ Alah Ibu... tu pun nak terasa ke? Takpe, orang tahu nak pujuk Ibu.”
“ Suku sakat kain semua Ibu reject. Tak kira la kain ela ke, kain tudung ke, kain batik ke.” Dia ketawa kecil. Patutlah budak ni loyar buruk. Si Ibunya pun sama. Satu acuan nampaknya. Ilyas Benjamin ketawa besar, sampai menekan perut. Ni memang stok gelak setahun ni.
“ Taklah Ibu, kali ni, hadiah raya yang paling best.” Semua terpinga-pinga. Makcik-makcik dengan kakak-kakak yang tadinya sibuk dengan kerja masing-masing menjongket kening, menunggu bait bicara Ilyas Benjamin yang masih lagi menghabiskan sisa-sisa ketawanya.
“ Apanya Chu oit... Penat menunggu dah ni.” Seorang wanita lingkungan umur pertengahan tiga puluh bangun dari duduknya, mendukung anak kecil lingkungan tiga tahun mendapat mereka.
“ Tada...” Ilyas Benjamin mendepangkan tangannya betul-betul dihadapannya. Dia terkedu, ditambah lagi dengan reaksi mereka-mereka semua yang terpinga-pinga dengan tindakan Ilyas Benjamin.
“ La... Ibu tak faham ke?”
“ Apa?” Berkerut dahi wanita separuh umur itu. Ditambah pula dengan kerutan di dahinya juga. Dia menolak cermin mata yang melurut turun kembali ke tempatnya. Peluh dingin merenek di dahi, tidak senang diperhatikan semua yang ada, rata-ratanya kaum wanita.
“ Ni, Chu bawa anak baru untuk Ibu. Kalau dulu import khas dari Jerman, ni Chu import dari Korea ni.” Hampir tertanggal sendi temporomandible mendengar kata-kata Ilyas Benjamin. Dia terasa mahu menyekeh saja anak orang ini.
Kuk... Ha... Apa patut dia berterima kasih kepada makcik ni kerana memahami isi hatinya?
“ Ada pula buat main macam tu? Umur dah lanjut, dok buat perangai pelik macam budak-budak pakai pampers lagi.” Ilyas Benjamin menggosok dahinya yang merah penangan sekehan selaju 110 kilometer sejam dari makcik yang dipanggil Ibu tadi.
“ Maaflah, anak ibu ni memang macam ni. Kepala otak dia short sikit, dulu banyak sangat main karan.” Si Ibu menjeling tajam kepada Ilyas Benjamin yang ketawa besar dengan komennya. Dia hanya tersengih.
“ Takpe Ibu, eh... Makcik. Saya dah biasa dah melayan kerenah mereka berdua di ofis tu.” Dia menghulur tangan untuk bersalaman dengan si Ibu itu. Wajahnya memerah, menahan malu kerana tersasal memanggil Ibu orang lain Ibu.
“ Takpe, Ibu suka lagi kawan-kawan anak Ibu panggil Ibu, Ibu. Semua anak Ibu. Sama kerja dengan Chu ya? Nama siapa ni?” Bertubi-tubi soalan dari Ibu, membuatkan dia terpana. Ilyas Benjamin ketawa kecil. Asyik sengih je anak orang ni. Tau la balik kampung sendiri. Kasihan kat aku ni, asyik beraya kat KL tu je. Ni baru nak merasa raya kat kampung. Tu pun menumpang dengan kampung orang lain. Nasiblah kau Bayu, keluarga kau istimewa. Syukur sajalah.
“ Mengelamun dah anak Ibu ni.” Tepukan perlahan pada tangannya menyebabkan dia kembali ke alam nyata dengan sengihan sumbing.
“ Maaf Ibu, hanyut sekejap.” Ibu tersenyum.
“ Nama siapa?” Dia menggaru kepala bila si Ibu mengulang kembali soalannya.
“ Panggil saja Bayu, Ibu.” Ibu mengangguk kepala.
“ Bayu kerja sekali dengan Ilyas?”
“ Dia ni Boss kami la Ibu. Anak Dato’ Bakri.” Dia mengetab bibir apabila dua sekawan itu meyampuk sebelum sempat dia menjawap soalan Ibu. Serentak itu dia terasa gengaman Ibu pada jemarinya kian longgar. Air muka wanita itu kelihatan serba salah.
“ Itu di pejabat Ibu, di luar saya sama saja dengan mereka ni.” Senyuman di bibir wanita itu mengundang rasa lega dalam hatinya.
“ Hm... Yalah. Dah, kamu Ilyas, pergi bawa anak-anak Ibu ni naik. Rehatlah, mesti kamu semua penat.” Ilyas Benjamin mengangguk kepala. Dia mengekori langkah anak muda itu sambil melemparkan senyuman pada semua mata yang memandang.
“ Babe, kau tak payah rehat. Bukan kau yang drive pun. Pergi tolong Ibu.” Dia tersenyum lebar melihat gadis itu menjelir lidah kepada Ilyas Benjamin.
* * *
Dia mengesat peluh, sesekali batang buluh lemang dibalik-balikkan agar masaknya sekata. Ilyas Benjamin masih sibuk memasukkan beras pulut ke dalam batang buluh yang saiz ukur lilitnya genggam kanak-kanak. Sesekali dia mengipas bara api, diselang-seli mengipas wajahnya yang kepanasan.
“ Bayu kalau panas, tak perlulah jaga api tu, nanti saya tengok.” Dia tersengih. Mentang-mentang la aku orang Bandar, tak pernah masak lemang, terus suruh aku letak jawatan jaga api.
“ Takpe, bukan selalu pun.” Ilyas Benjamin ketawa kecil.
“ Ha’ah, agaknya apa yang Dato’ fikirkan bila tahu anaknya mencemar duli turun padang bakar lemang kat kampung ni.” Dia ketawa senang. Ah... masakan Papa mahu memikirkan, sedangkan dia sendiri tidak pernah menyentuh semua ni.
“ Ilyas, kenapa batang lemang kamu semua kecil-kecil? Tak macam yang jual di luar.” Ilyas Benjamin ketawa.
“ Pertama kali Encik Boss panggil saya Ilyas.” Dia terasa wajahnya panas. Panas sebab duduk depan api kah?
“ Ibu tahu saya macam mana dulu. Jadi Ibu tak kisah kalau orang lain pun panggil macam tu. Yang penting Ibu percaya saya tak kan buat perkara yang memalukan Ibu.” Dia masih tidak mengalihkan pandangannya dari anak muda itu.
“ Ha.. Balik pada soalan Bayu, lemang kecil ni la yang sedap. Tak perlu cubit-cubit, terus je sumbat masuk mulut. Lagipun, lemang kecil senang nak masak sekata. Takde la nanti yang keras, berkerak. Orang rumah ni suka lemang yang lembut. Bayu macam mana?” Dia mengerut dahi.
“ Bukan lemang semua sama je rasanya?” Terus dicebik bibir mendengar tawa besar dari anak muda itu. Nak buat macam mana, dah memang aku rasa lemang semua sama je rasanya.
“ Nok, aku lapar. Lemang dah ada yang masak?” Suara halus gadis itu membuatkan dia membetulkan duduknya. Gadis itu menatang pinggan berisi rendang ayam tampak manis berkain batik dengan t-shirt besar gedabak, dan tocang kelapa satu itu membuatkan wajah gadis itu kelihatan comel seperti budak sekolah.
“ Cuba pergi tengok, rasanya dah ada dah yang masak.” Gadis itu tersengih. Pinggan rendang ayam diletak ke tepi.
“ Encik Boss tak kisah kan?” Dia hanya menggeleng kepala apabila gadis meletakkan punggung disebelahnya. Dia hanya memerhati gadis itu sibuk membelek-belek lemang sebelum diatur dalam besen.
“ Saya tahu saya comel Encik Boss. Tak perlu tenung saya sampai macam tu.” Dia meneguk air liur. Malunya, tenung anak dara orang sampai macam ni sekali.
“ Nok, ni yang dah masak ni, kopek jom?” Ilyas Benjamin menggeleng kepala.
“ Kopek la, aku nak buat round ketiga ni dulu.” Ilyas Benjamin mengatur buluh-buluh lemang pada pendiang bara. Dia lihat gadis itu tersengih. Suka benar dapat makan. Melihat gadis itu mengambil pisau untuk membelah buluh membuatkan dia kalut.
“ Er... biar saya yang buat.” Dia sendiri terkedu mendengar kata-kata yang terbit dari bibirnya sendiri. Gadis itu tersenyum, lalu menghulurkan pisau dan lemang kepadanya. Lalu dengan selamba gadis itu bertinggung dihadapannya dengan muka comelnya diletakkan di hujung lutut. Dia membelek-belek batang lemang itu dengan dahi berkerut. Terus terang aku katakan, aku tak pernah belah lemang. Nak mula macam mana ni?
Perlahan mata pisau diletakkan di hujung lemang, dan “tuk...” satu hentakkan kuat dikenakan pada lemang membuatkan buluh lemang itu terbelah dua dan isinya terburai. Dia terkedu, lantas wajah di hadapannya di pandang sekilas. Wajah comel itu terkebil-kebil, dan dia terdengar suara menahan tawa di belakangnya.
“ Er.. Encik Boss tak pernah belah lemang ke?” Suara comel menyapa telinga menjadikan dia terasa mahu menikam dirinya sendiri.
“ Bayu, bila guna buluh kecil, tak perlulah hentak lemang tu macam nak hentak bunuh orang. Tekan sikit je.” Ilyas Benjamin menerangkan kepadanya dengan senyuman yang disembunyikan.
“ Takpelah, biar saya je yang buat.” Dia hanya memandang gadis itu mengambil pisau ditangannya, dan mula membelah lemang. Laju saja isi lemang yang sebesar duit syiling lima puluh sen itu dicolek ke dalam rendang sebelum disuap ke mulutnya. Wajah yang menikmati keenakkan lemang itu mengundang senyum kecil dibibirnya.
“ Babe, makan seorang je ke?” Gadis itu mencebik bibir.
“ Ganggu nikmat aku nak makan. Tadi mengata aku, lepas tu sibuk menyendeng.” Lalu gadis itu mengambil lemang yang telah dipotong, terus menatang pinggan duduk disebelah Ilyas Benjamin.
“ Nah...” Sepotong lemang disuap kepada anak muda itu menyebabkan jantungnya terasa berdetap. Hype, Bayu Muzaffar, kau datang menumpang raya dirumah orang, tapi kenapa terselit niat songsang?
“ Encik Boss?” Suara gadis itu membuatkan dia tersengih. Malu ditangkap mengelamun begitu.
“ Ya?”
“ Nak lemang?”
“ Takpelah, awak makanlah. Tangan saya kotor ni.” Senyumannya mati apabila jemari runcing itu menyuakan sepotong lemang bersam rendang ayam. Terkebil-kebil dia melihat wajah comel itu, tambah pula dengan mulutnya yang sedikit terbuka dan suara ‘aah...” yang perlahan seperti mahu menyuapkan anak kecil lagaknya.
“ Er... takpelah. Awak makan je lah.” Dia menjarakkan sedikit wajahnya. Gadis itu mencebik bibir.
“ Makan sajalah Bayu, merajuk dia nanti.” Dia menggaru kepala apabila Ilyas Benjamin dengan selamba berkata-kata sambil mengipas bara api di hadapannya. Perlahan-lahan mulut di buka, menyambut lemang di jemari gadis itu. Gadis itu tersenyum riang, dia hanya menggelengkan kepala. Membuang perasaan malu yang menerpa. Dalam masa yang sama, rasa berbunga-bunga mekar dalam hati melihat gadis itu seronok mengunyah lemang sambil tangannya laju menyuap Ilyas Benjamin dan dirinya bergilir-gilir. Terasa aku balik ke zaman kanak-kanak pula dah.
“ Ya ampun... anak-anak Ibu, Ibu suruh jaga lemang, bukan qekah lemang masuk tangki masing-masing.” Ketiga-tiga mengangkat kepala melihat Ibu mencekak pinggang, tersenyum kelat apabila Ibu menunjukkan selonggok batang lemang yang terbelah menunjukkan isinya telah selamat mendarat ke dalam perut masing-masing.
* * *
“ Bayu, boleh bawa besen di ke dalam rumah?” Ilyas Benjamin menunjukkan besen besar yang berisi dengan lemang-lemang yang telah masak. Dia mengangguk kepala. Lantas, tanpa banyak bicara terus mengangkat besen besar itu, dan dia menarik nafas dalam. Ark.. beratnya. Ni lemang ke batu?
“ Kalau tak larat, angkat separuh la, separuh lagi biar saya yang bawa.”
“ Eh.. takpe, boleh ni.” Dan dia berjalan terhuyung-hayang meninggalkan Ilyas Benjamin yang ketawa kecil. Gelaklah, aku tak peduli. Langkah diatur laju menuju ke belakang rumah terus ke pintu dapur.
“ Kasihan anak Ibu angkat seorang. Eme, tolong Bayu ni susun lemang kat dalam. Ibu nak tengok ketupat.” Dia sempat mengerling kepada gadis itu yang menabik pada Ibu sebelum berlari-lari anak menuju kepadanya. Ish... dah la berkain batik, jatuh nanti macam mana? Tersadung ke? Terlucut ke? Tak ke haru jadinya.
“ Tak mungkin punyalah Encik Boss, saya pakai tali pinggang.” Gadis itu ketawa kecil. Aik? Kau ada teleport ke? Ke kepala aku ada antena? Dia meraba-raba kepalanya. Takde pun. Gumamnya sendirian. Malas mahu memikirkan, dia terus menyusun lemang-lemang itu ditempatnya.
“ Encik Boss, jom lepas ni joint Hakim main mercun.” Mahu teleng kepalanya mendengar ajakan si gadis.
“ Mana boleh main mercun.”
“ Alah... sejak bila Encik Boss skema ni? Ke Encik Boss tak pernah main?” Dia mengherotkan mulut. Macam tau-tau je aku tak pernah sentuh benda-benda macam tu.
“ Asyik-asyik Encik Boss, tak penat ke panggil panjang-panjang macam tu?” Dia dapat lihat gadis itu ketawa kecil.
“ Habis? Saya nak panggil apa? Tak kan nak panggil Abang? Ye la, Encik Boss kan kawan Abang Eiq, tapi macam tak kena je nak panggil Abang.”
“ Bayu?”
“ Alah... dah macam kawan-kawan pula kalau panggil Encik Boss macam tu.” Dia memandang wajah itu yang tersengih-sengih.
“ Saya bukan kawan awak ke?” Alahai Bayu, malam-malam raya nak touching pula. Pelik betul la kau ni. Dia lihat gadis itu menggaru kepala.
“ Okeylah, dah habis susun. Jom Bayu, joint Hakim and the gang.” Dia terkedu apabila gadis itu selamba menarik lengannya menuju kumpulan kanak-kanak yang sakan bergelak ketawa diselangi dengan dum-dam-dum-dam bunyi mercun.
“ Lambat la Kak Eme ni, mercun kitorang dah nak habis dah.” Gadis itu mencekak pinggang.
“ Oh... main tak ingat Akak pun. Nak merajuklah.” Dia tersengih apabila melihat kanak-kanak yang bernama Hakim itu menanggal songkok menggaru kepalanya.
“ Ala, Akak ni, tu pun nak merajuk. Akak yang sibuk layan lemang, sampai lupa kami.” Gadis itu mengherot mulut sebelum tersengih.
“ Tunggu sini kejap.” Menonong saja gadis itu meninggalkannya bersama kumpulan kanak-kanak. Dia menggaru kepala. Aku ni dah la tak reti nak melayan budak-budak. Dia boleh pula tinggal aku macam tu je? Monolognya terbang apabila terasa ada tangan yang manarik hujung bajunya. Kepala ditundukkan, melihat kanak-kanak perempuan lingkungan usia 4 tahun tersengih kepadanya.
“ Abang ni pakwe Kak Eme ke?”Aik? budak, kau kecik lagi reti ke bab pakwe makwe ni?
“ Kenapa?”
“ Saja tanya, sebab dulu Intan suruh Akak kahwin dengan Pak Chu, tapi Pak Chu cakap Kak Eme reject dia, sebab Kak Eme dah ada pakwe.” Terus dia bertinggung agar pandangannya separas dengan anak kecil bernama Intan itu.
“ Kak Eme dah ada pakwe?” Dia mengulang soalan kepada anak kecil itu.
“ Ha’ah... Akak cakap ka...”
“ Intan, kutuk Akak ya?” Suara gadis itu memotong Intan meneruskan kata-katanya. Gadis cilik itu tersengih dan berlari mendapatkan abangnya.
“ Hakim...” Hakim mendapatkan Gadis itu dengan senyuman lebar.
“ Hakim dah tahu dah, mesti Kak Eme ada sesuatu untuk kami.” Riuh suara kanak-kanak bersorak apabila melihat gadis itu mengusung satu kotak besar yang dipenuhi bunga api dan mercun.
“ Awak boleh dihukum tahu tak? salah tahu main mercun.” Gadis itu hanya tersenyum.
“ Alah, peraturan dibuat untuk dilanggar. Itu kan paling seronok dalam hidup ni?” Dia menggeleng kepala apabila gadis itu tersenyum lebar.
“ Nah, Bayu pun main sekali. Bukan selalu boleh jadi budak-budak.” Mahu atau tidak dia menyambut bunga api yang dihulurkan gadis itu. Ralit dibuatnya melihat cahaya warna warni yang dihasilkan dari bunga api tersebut, dan... “ Pom!!!” terus bunga api ditangan terlepas apabila bunyi letupan mercun berada betul-betul disebelahnya. Pucat wajahnya.
Gadis itu ketawa besar. Wajahnya kelihatan kemerahan dek kerana terlalu banyak ketawa.
“ Awak boleh buat saya mati katak.” Dia merungut sambil mengusap dada, meredakan rasa terkejutnya.
“ Maaflah, saya tak sangka Bayu boleh ‘hilang’ dalam dunia bunga api tu.”
“ Yalah... Mana? Saya nak juga.” Dia menadah tangan kepada gadis itu, dan gads itu dengan senang hati meletakkan mercun kecik warna merah kepadanya.
“ Cubalah.” Sungguh, raya kali ini Bayu Muzaffar Dato’ Bakri kembali ke zaman kanak-kanak setelah berusia tiga puluh tiga tahun. Kalaulah Papa Mama tahu, memang pakat stok kena gelak setahun.
“Woit... main tak tunggu Pak Chu pun.” Suara Ilyas Benjamin disambut dengan gelak tawa anak buahnya.
“ Dah la, tak payah tarik muka. Main je lah.” Gadis itu menunjukkan kotak mercun yang tidak jauh dari mereka. Riuh rumah kampung itu dengan gelak tawa dan bunyi mercun sana-sini. Mujurlah halamannya luas, memang meriah. Dia tersenyum melihat gadis itu turut bekejaran bersama dengan kanak-kanak yang lain. Kain batiknya sudah berganti dengan seluar sukan.
“ Bayu, lari...” Jeritan kuat dari Ilyas Benjamin membawanya kembali ke nyata.
“ Mercun, lari.” Sambung gadis itu pula, barulah dia perasan tidak jauh dari kakinya terdapat satu mercun yang bergolek perlahan, tanpa berfikir panjang, laju saja kakinya menyepak mercun itu dan... ‘keboom...!!!’
Bergema rumah kampung itu dengan bunyi mercun yang paling kuat yang pernah didengarinya. Serentak itu kedengaran jeritan Ibu, nyaring.
“ Ya Allah, Ya Rabbi....!!!” Serentak itu semua berlari mendapatkan Ibu. Pucat muka masing-masing apabila belakang rumah sudah sunyi-sepi. Yang kedengaran Cuma jeritan Ibu.
“ Dodol Ibu....” Masing-masing tersengih apabila melihat Ibu mencekak pinggang melihat kawah dodol yang telah masak senget sebelah, dan dodol dalam kawah sudah berselepet merata-rata kesan letupan mercun.
2 ulasan:
ade sambungan tak? hehe
stakat ni xder la dik~~~ HHIHIHI... akan dtg xpasti.... tunggu~~~
Catat Ulasan