baiknyer~ diorg nieh~

Jun 04, 2012

Kerana Dia Lelaki Itu ....



Kerana dia lelaki itu, dia menahan tubuhnya menahan tubuhnya menerima habuan sedari tanpa mengenal erti penat, apabila rotan sebesar jari kelingking kanak-kanak menjamah tubuhnya yang sedia ada kecil tanpa belas kasihan. Bukan tidak sakit, bukan tidak perit, air mata yang laju menuruni pipi dan esak yang tertahan jelas menunjukkan dia juga seperti kanak-kanak lain. 
 
            Namun, kerana dia lelaki itu, sakit hatinya yang disimpan lebih parah lukanya berbanding birat-birat kesan libasan bilah rotan yang sudah berbulu di hujungnya akibat terlalu kerap meninggalkan tanda ‘sayang’ ditubuhnya. Dengan wajah yang basah dengan air mata, pandangan yang kabur dengan air yang seakan tidak kenal erti jemu keluar dari kelopak matanya, dia menjeling tajam lelaki di hadapannya.

            “ Sudahlah awak, awak nak bunuh anak ke?” Laungan kuat dari wanita yang sedang berlari anak mendapatkannya membuatkan hanyunan lelaki itu terhenti. Seperti tadi, matanya masih menyinga memandang ke arahnya yang turut mencerlung memandang lelaki itu tanpa rasa takut.

            “ Saya tahu macam mana nak ajar anak saya.” 

            “ Ni bukan mengajar namanya...”

            “ Awak diam. Awak jaga anak awak elok-elok. Tak payah sibuk-sibuk nak jaga anak saya.” 

            Dia hanya memandang drama sebabak lelaki itu bersama wanita itu, masih tidak berkutik dari duduknya. Langsung tiada niat mahu menyampuk, membela diri apatah lagi walaupun sedar bibit-bibit pertengkaran kedua-duanya berkisar pada dirinya.

            “ Kalau macam ni cara awak ajar anak awak, anak-anak yang lain pun awak patut guna cara yang sama. Kenapa dengan Amethyst yang jadi mangsa sedangkan dia darah daging awak dengan Lucya, wanita yang awak cinta?” 

            Dia masih memasang telinga. Bukan sekali dua pasangan itu bertengkar kerananya. Malah, acap kali menjamah telinganya. Setiap kali pertengkaran sejarah lama diungkit, dan setiap kali itu juga ada fakta baru yang diketahuinya.

            “ Awak baran, tapi kenapa dengan keluarga awak, awak jadi tikus? Mengikut aturan keluarga semata-mata?”

            “ Lucya kawan baik saya. Malang sungguh kawan baik saya andai dia terus hidup dengan kepala angin macam awak.”

            “ Awak cintakan Lucya. Hati awak kepada dia. Kenapa awak teruskan juga akad kalau awak tak boleh terima saya?”

            Dengan petunjuk-petunjuk kecil itu, kepalanya mencerna satu cerita. Dan kefahamannya, dia anak kepada lelaki itu bersama perempuan yang bernama Lucya yang mana hubungan mereka terlarang dan akhirnya lelaki itu terpaksa mengahwini wanita di hadapannya.

            “ Kerana dia saya kehilangan Lucya dan terpaksa menerima awak. Awak sedar ke tak?” Kata-kata memetir dari lelaki itu membuatkan dia mengangkat kepala. Sangkanya, wanita itu akan menangis seperti drama-drama di kaca tv, namun wanita itu  terus tegak berdiri di hadapan lelaki itu.

            “ Saya tak pernah paksa awak terima saya. Saya sendiri tak pernah paksa saya untuk terima awak melainkan memenuhi tanggungjawap akad yang awak dah lafazkan.” Walaupun dia tidak faham apa yang dituturkan oleh wanita itu, namun dia hanya mengikut apabila wanita itu pantas menariknya meninggalkan lelaki itu. Jauh dari lelaki itu, dilihat wanita itu menyeka air mata. Ya, kerana lelaki itu air mata wanita itu tumpah buat julung kalinya.

*          *          *

“ Amy, jangan bagi orang lain nampak tangan Amy ya?” Dia hanya membatu diri, membiarkan wanita itu menyapu minyak gamat pada luka-luka di lengannya. 

“ Jangan bagitahu pada orang lain ya Amy?” Dia diam tidak berkutik. Tidak mahu melawan kata-kata wanita di hadapannya itu. Kalau diikutkan hati, mahu dihebahkan perangai ‘gila’ lelaki itu. Kalau diikutkan rasa, mahu ditayangkan semua hasil ‘seni’ lelaki itu tekapkan pada tubuhnya pada tatapan umum. Biar lelaki itu merengkut dalam penjara. Baru dia rasa.

“ Kasihan pada Wan dengan Tok kalau mereka tahu. Kasihan pada Nenda. Sedih dia nanti.” Dia menjeling wanita itu. Bukan mahu melawan kata-kata wanita yang terlalu mulia itu, namun apabila nama Nenda disebut, dia benci. Nenda juga seperti lelaki itu. Suka melempiaskan kemarahan kepada dirinya.

“ Amy janji dengan Bonda ya?” Mahu atau tidak, dia terpaksa mengangguk kepala. Menarik perlahan jemarinya yang digenggam wanita itu, dia melangkah mencapai baju kurung putih yang tersangut kemas.

“ Amy jangan main sukan ya. Nanti tangan Amy sakit.” Dia hanya mengangguk. Dilihat sekali lagi wanita itu menyeka air matanya. 

“ Kenapa Bonda menangis?”

“ Bonda tak menangis. Mata Bonda pedih masuk habuk.” Dia ketawa kecil mendengar alasan wanita itu.

“ Amy bukan Aidil, bukan Aiman juga. Amy boleh beza Bonda air mata menangis dengan air mata pedih.” Wanita itu ketawa. Dia juga ketawa senang mendengar tawa wanita itu.

“ Bonda, Amy nak tanya sesuatu boleh?” 

“ Apa dia sayang?”

“ Amy ni anak haram ke?” Dia tak buta. Dia nampak dengan jelas bagaimana reaksi wanita itu, terkejut.

“ Siapa cakap macam tu pada Amy?”

“ Suraya. Dia beritahu semua orang di sekolah. Betul ke Bonda, Amy anak haram, anak yang tak dikehendaki?” Dia lihat wanita itu menggigil.

“ Bonda sayang Amy macam anak Bonda sendiri, macam Bonda sayang Aidil dan Aiman. Amy percaya cakap Bonda ya, Amy bukan anak haram. Amy bukan anak yang tak dikehendaki. Amy hasil cinta yang halal, dalam ikatan yang sah. Amy faham kan apa yang Bonda katakan?” Dia mengangguk kepala. Mustahil wanita semulia wanita itu sanggup membohonginya. Dan dia bukan budak kecil yang tidak memahami, dia sudah cukup baligh untuk faham hukum dan perasaan cinta sesama insan.

*          *          *

Kerana dia lelaki itu, kini dia berada di sini. Dia memandang sepi lelaki yang sedang bersusah payah mahu mencapai gelas di meja tepi katil. Dia mencongak-congak usia lelaki itu. Belum pun mencecah angka enam puluh. Sedangkan dia sudah menjengah tiga puluh dua. Bunyi kaca pecah membuatkan dia tersentak dari lamunan. Langsung tidak punya niat untuk membantu.

*          *          *

“ Sudahlah tu awak. Awak nak bunuh anak ke?” Dia mencerlung ke arah lelaki itu yang dipeluk erat oleh Bonda. Tangan lelaki itu yang menggenggam wayar penyambung elektrik periuk nasi terhenti di awangan apabila lengan sasa itu ditahan dengan genggaman erat Aiman. Aidil mendapatnya cuba membantunya bangun, namun sengaja dikeraskan duduknya, terus melutut mencerlung tanpa rasa takut pada lelaki itu. Sama sepertinya, Aidil turut mencerlung kepada lelaki itu. Jelas riak wajah remaja yang muda setahun darinya itu turut terkena tempias benci kepada lelaki itu darinya.

“ Abah, sudahlah. Apa salah Along sampai Abah nak pukul Along macam ni?” Aiman masih menggenggam erat lengan lelaki itu. Bonda juga tidak leka menggenggam lelaki itu agar tidak menggila.

“ Ke tepi Aiman. Abah tahu macam mana nak ajar anak tak kenang jasa ni.” 

“ Apa yang Along buat Bah? Tak kan sebab tu je Abah nak pukul Along macam ni? Minggu depan Along pergi orentasi. Tak kan Along nak ke sana dengan luka lebam sana sini Abah?”

“ Ke tepi aku kata. Kau Aiman jangan nak jadi kurang ajar macam budak ni. Tak sedar kecil-kecil kita bela dia, besar menyakitkan hati. Derhaka.” Jerkah lelaki itu. Dia memandang lelaki itu tajam. Rasa benci sudah membuak-buak.

“ Ya Allah, awak ni hilang akal ke? Apa yang Amy buat sampai awak kata dia derhaka?”

“ Ke tepi aku kata. Yang kamu semua ni sibuk-sibuk nak bela budak ni kenapa? Apa, kamu pun nak jadi derhaka? Tak cium bau syurga?” Dia lihat terkulat-kulat Bonda dijerkah lelaki itu. Genggaman tangan Aidil di lengannya direntap kasar. Kaki dilangkah menghampiri lelaki itu yang kelihatan terkejut dengan kemaraannya. Rasa semut-semut pada kaki akibat duduk melutut terlalu lama langsung tidak dipedulikan.

“ Tak usah marahkan mereka kerana saya, Abah. Kalau benar Abah bencikan saya, lepaskan pada saya, bukan pada Bonda, bukan pada adik-adik saya. Kalau saya ni menyakitkan hati Abah, maafkan saya. Ah... mungkin saya tak layak pun hendak memanggil Abah dengan panggilan Abah, kan? Yalah, saya ni kan anak yang tak dikehendaki. Tak usahlah Bonda bergaduh dengan Encik Benjamin kerana saya selepas ini, kerana saya akan melenyapkan diri dari pandangan kalian. Itu cukup mungkin untuk memuaskan hati Encik Benjamin?” Dia lihat  Bonda terkebil-kebil. Dan lelaki itu tersenyum sinis. Senyuman sinis lelaki itu turut dibalas dengan senyuman nipis darinya.

“ Apa Along cakap ni?” Aidil menarik kuat lengannya. Dia tersenyum.

“ Along, kenapa cakap macam tu? Along nak pergi mana?” Aiman sudah melepaskan genggamannya pada lengan lelaki itu. Dia hanya tersenyum dan berlalu masuk ke biliknya. Sebuah beg pakaian bersaiz serdahana di capai dan pakaiannya yang tidak seberapa disumbat semua ke dalam beg tanpa meninggalkan sehelai pun. 

“ Along, apa ni?”

“ Along...” Langsung dia melangkah, tanpa mempedulikan panggilan adik-adiknya.

“ Bonda...” Dilihat air mata Bonda sudah mengalir deras. Dadanya sebak.

“ Amy nak ke mana? Kenapa Amy nak tinggalkan Bonda?” 

“ Bonda, maafkan Amy...”

“ Yang awak beria-ria menangis ni kenapa? Dia bukan anak awak pun.” Suara lelaki itu memecah kesunyian mereka. Dia menjeling tajam lelaki itu. Tangan Bonda dicapai, dan digenggam erat. Dia memeluk erat tubuh Bonda sebelum beralih kepada adik-adiknya. Perlahan dia melangkah meninggalkan mereka. Jelas kelihatan wajah sedih Bonda, wajah sayu Aiman dan wajah Aidil yang jelas tidak puas hati.

“ Hoi...” Langkahnya terhenti. 

“ Selangkah kau keluar dari rumah ni, jangan kau fikir untuk balik ke sini. Aku haramkan kau jejak kaki kat rumah ni lagi.”

“ Abang..!!” 

“ Abah..!!” Dia memejam mata apabila insan-insan kesayangannya terjerit kecil mendengar kata-kata lelaki itu yang sudah lupa diri. 

“ Pergi dulu, Bonda. Aidil, Aiman, jaga Bonda untuk Along.” Langsung dia berpaling. Tidak sanggup mahu melihat wajah Bonda yang tidak segan-segan mengalirkan air mata untuknya.

“ Ya Allah, pecah lagi abah? Kenapa tak panggil kami kalau abah dahaga?” Aidil menghampiri lelaki itu. Pantas tangannya mengutip serpihan kaca yang bertaburan.

“ Kalau aku panggil pun bukan kamu semua dengar.” Getus lelaki itu. Sudah sakit masih mahu menyombong.

“ Apa guna Aidil bayar nurse mahal-mahal kalau abah tak panggil dia?” 

“ Mahal mana sangat yang kamu bayar. Ha, ambil duit aku. Aku mampu nak bayar. Tak payah nak harap kamu semua. Ada anak pun serupa takde anak.” Dia pantas meninggalkan lelaki itu yang masih sombong dan bengis di lewat usia. 

Tepukan perlahan pada bahu membuatkan dia tersedar. Lantas sebuah senyuman nipis dihadiahkan kepada anak muda itu.

“ Along tak nak tengok Abah?” Dia menggelengkan kepala sambil tersenyum. Wajah anak muda yang muda tiga tahun darinya dipandang sekilas sebelum mengalihkan pandangannya ke air terjun buatan di halaman rumah.

“ Along marahkan Abah lagi?” Dia menggelengkan kepala.

“ Along dah penat untuk marah pada sesuatu yang tidak pasti.” Dibiarkan saja anak muda itu memeluk erat bahunya. 

“ Minum Along, Aiman.” Suara Wani, isteri kepada Aidil mengejutkannya. Satu senyuman manis dilemparkan.

“ Aidil mana Wani?”

“ Tadi tengah bersihkan bilik Abah.” Wani tersenyum manis. Wanita bertudung litup itu dengarnya Ustazah di sebuah sekolah di kawasan itu. Dia tersenyum lagi. 

“ Along...” Suara Aidil mengejutkannya yang sedang asyik menyimpul senyum. Aidil dilihat mengambil tempat disebelah Wani. Bahu wanita itu dipeluk mesra. 

“ Dah la tu Ngah, malu Kak Ngah tu kau buat macam tu.” 

“ Okey la tu, aku peluk bini aku, kau tu, yang peluk Along tak nak lepas tu kenapa?” Dia ketawa kecil. Sungguh, sejak tadi Aiman langsung tidak melepaskan bahunya.

“ Aku rindu gila kat Along. Long, malam ni tidur sini ya?” 

“ Ha’ah la Long, tidur sini la. Rumah ni cukup besar untuk kita semua. Wani tak la bosan kalau Long ada.” Dia tersenyum memandang adik-adiknya. Masing-masing sudah dewasa, Aidil sudah mendirikan rumahtangga. Perlahan kepalanya digeleng.

“ Kamu lupa Abah haramkan ALong jejak kaki kat rumah?” 

“ Long, tu rumah dia, sekarang ni, ini rumah Bonda. Bonda beli untuk kita berkumpul.” 

Takpelah. Nanti kalau ALong duduk sini, tak  baik pula Encik Benjamin tu. Susahkan kamu semua pula nanti.”

“ Long, kau marahkan Abah lagi ke?” Wajah Aiman dan Aidil dipandang silih berganti.

“ Along tak pernah marah pada Encik Benjamin.”

“ Long, itu hal lima belas tahun dalu. Dia tetap Abah kita Long.” Dia tersenyum nipis. Ya, dia memang Abah kalian. Tapi aku? Dia tidak pernah memandang aku sebagai anaknya. Kerana dia lelaki itu, lelaki yang punya ego menggunung, aku terpaksa meninggalkan Bonda. Kerana dia lelaki itu, aku Cuma sempat menatap Bonda dari jauh pada kali terakhir itu. Kerana dia lelaki itu, aku tidak pernah merasa erti sayang kepada seorang ayah. Kerana dia lelaki itu, aku menyulam rasa benci padanya sehingga aku lelah dalam perasaan sendiri. Semuanya kerana dia lelaki itu...

1 ulasan:

riyadh berkata...

ada sambungan lg x?? ke sampai takat tu jerr?? nk tau nape ayah dia benci sgt kat alomg tuhhh...

(^0^) ErimO pAda SeOranG Nem0 (^0^)