(walaupun bukan pics budak perempuan yg tomey... tp anggap saja si mata hijau ini seperti si Eme yang cute... hihihi... payah tul nk mencari si comel bermata hijau.... daku tak pandai nk berPHOTOSHOP bagai...hhuhuhu)
Dia memandang anak mata jernih berwarna kehijauan itu dengan perasaan yang berbaur. Perlahan-lahan air mata mengalir lesu pada pipi gebu itu. Bibir mungil kemerahan bergetar, seakan ingin menyuarakan sesuatu, namun hanya esakan kecil kedengara. Perlahan-lahan dia menghampiri tubuh kecil itu, lantas didakap kejap. Kembang kempis hidungnya menahan rasa sebak dan bersalah yang menghempuk dada. Rambut keperangan itu diusap perlahan.
“ Anak babah jangan menangis. Anak babah kan kuat?” Dia mengusap air mata yang membasahi pipi gebu itu. Kesan kemerahan di lengan kecil itu diusap perlahan dengan harapan mengurangkan perit dilibas dengan tali pinggang. Dia menarik nafas panjang, sedaya upaya menghalau rasa sebak yang semakin memenuhi benak.
“ Eme kuat...” Bibir kecil itu menguntum senyuman meskipun esakan tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Dia tersenyum.
“ Maafkan mama ya? Mama tak sengaja.” Dengan berat hati dia mengungkapkan kata maaf bagi pihak wanita yang dicintainya. Anak mata jernih itu tidak mampu ditenung dek perasaan bersalah yang menyelubungi.
“ Mama tak sayang Eme.” Si kecil itu menggeleng kepala sambil tangannya berusaha menepis tangan kasar yang menggenggam erat jemarinya.
“ Tak, mama sayang anak babah ni. Mama tak sengaja. Mama sakit.” Berusaha dia meyakinkan anak kecil itu.
“ Mama tak sayang Eme.” Geleng anak kecil itu berkali-kali. Bibirnya kumat-kamit mengulangi ayat yang sama. Dia diselubungi rasa bersalah menggunung. Anak kecil yang berusia 5 tahun itu mula memahami keadaan disekelilingnya.
“ Eme... dengar cakap babah. Mama tak sengaja. Eme maafkan mama ya?”
“ Tak mahu...” Bentak bibir mungil itu. Esakan kembali menghiasi pendengarannya.
“ Anak babah baik kan? Anak babah sayang babah kan? Kalau anak babah sayang babah, anak babah dengar cakap ba...”
“ Eme bukan anak babah. Eme bukan anak mama. Semua tak sayang Eme. Mama tak sayang Eme. Babah pun sama. Eme bukan anak babah.” Jerit anak kecil itu mematikan kata-katanya. Dia meraup wajah, hanya membiarkan anak kecil itu berlari meninggalkannya.
* * *
“ Awak jangan buat kerja merepek boleh tak? Mana akal awak?” Dia menggenggam penumbuk, cuba menahan hati. Wanita di hadapannya itu ditenung tajam. Jika bukan kasihnya yang mendalam, jika bukan kerana keadaan wanita itu yang sedang sarat, menghamilkan hasil cinta mereka, dah lama tangannya sampai ke tubuh itu.“ Saya dah nekad, lepas saya pantang nanti, awak lepaskan saya.” Tanpa rasa takut mahupun bersalah, wajah sawo matang itu turut membalas pandangannya yang menyinga.
“ Astaghfirullah... Awak ni sedar ke tak? Awak tu tengah sarat. Saya faham andai emosi awak tak stabil, tapi tak kan sebab khabar angin tu awak nak percaya? Saya takde apa-apa hubungan dengan perempuan tu.” Dia mengurut pangkal leher. Cuba untuk mengurangkan rasa serabut yang menyemakkan kepala.
“ Saya tak buta. Saya nampak. Dan saya redha awak kahwin dengan dia. Tapi, ceraikan saya.” Wanita itu masih dengan pendiriannya. Dia terasa gelap dunia. Buat pertama kalinya dia terasa mahu membunuh insan yang baik hati membawa mulut.
* * *
Wanita itu memandangnya dengan padangan tanpa perasaan. Berbanding dengannya, wanita itu lebih tenang. Berbanding dengannya, wanita itu lebih bersedia menghadapi keadaan ini. Bayi kecil yang berusia 1 hari tu ditatap dengan perasaan yang berbaur. Sedih, kecewa, buntu. Mungkin lebih tepat lagi andai dikatakan tidak percaya. Seperti bayi-bayi yang lain, wajah kecil itu cukup sifatnya. Berkulit putih kemerahan, bibir yang kecil, hidung yang kecil. Namun, anak mata yang kehijauan dan rambut yang sedikit keperangan membuatkan dia sebu.“ Ini punca awak minta cerai dengan saya?”
“ Awak ada pilihan awak, saya pun sama. Kita dah tak sehaluan. Biar kita bawa diri masing-masing. Benz dan janji nak bernikah dengan saya lepas saya habis edah nanti.” Wanita itu tenang dengan tuturnya membuatkan dia lembik lutut.
“ Benz?” Serta merta wajah lelaki inggeris itu menerpa dalam kepalanya. Perkenalan sejak belajar cukup untuk dia mengenali lelaki berdarah British itu. Dia meraup muka. Ya, mata itu, rambut itu, semuanya sama seperti lelaki itu. Sungguh, dia langsung tidak menduga, lelaki yang dianggap seperti adik sendiri, kepercayaannya, menikam dari belakang. Malah, meninggalkan kesan hasil hubungan terlarang. Tumpah jua air matanya buat pertama kali dihadapan wanita itu.
* * *
Pintu kamar ditolak perlahan. Kamar kecil itu hanya dibiarkan suram. Kakinya pantas diatur menuju katil kecil yang berhias indah itu. Kelihatan anak kecil yang berusia tidak sampai sebulan itu nyenyak dalam lenanya. Dipaling pula ke sudut lain, kelihatan wanita itu turut lena dalam mimpinya. Dia mengusap wajahnya yang ditumbuhi janggut meliar. Kehadiran anak itu memberi kesan yang sangat mendalam pada dirinya. Perlahan-lahan tangannya cuba mencapai leher kecil itu. Terhenti pergerakkannya apabila jarinya digenggam erat secara tiba-tiba oleh anak kecil itu.
Dia menarik nafas panjang. Cuba melepaskan diri dari genggaman anak kecil itu. Tindakannya membuatkan anak kecil itu terjaga. Perasaan kalut menyelubungi diri. Mujurlah anak kecil itu tidak menangis. Malah terkebil-kebil sebelum mengukirkan senyuman. Tersentap jantungnya melihat senyuman ikhlas dari bibir kecil itu. Menggeletar tangannya apabila cuba memangku tubuh kecil itu.
Wajah comel itu ditatap asyik. Senyuman yang dihiasi lesung pipit pada kedua-dua belah pipi itu seakan membuai perasaan. Dia tenggelam dalam keasyikkan yang diciptakan si kecil. Seketika dia teresak. Betapa dia terasa jahil dan berdosa dengan niat mengapa-apakan anak yang tidak berdosa itu.
“ Maafkan abah..” Bisiknya mendapat sebuah senyuman lebar dari anak kecil itu membuatkan air matanya gugur buat sekian kalinya.
* * *
Raungan wanita itu langsung tidak dipedulinya. Dia hanya duduk bertentangan dengan wanita itu, melihat wanita itu menangis sambil memukul-mukul bantal. Nafas panjang ditarik dalam. Dibiarkan wanita itu melepaskan perasaan. Tangisan kecil mula bergema dalam bilik itu. Turut dibiarkan. Dia lebih tertarik pada tindak tanduk wanita itu berbanding memujuk anak kecil itu.Perlahan-lahan wanita itu bangun mendapatkan katil bayi di sudut bilik. Anak kecil itu diusap perlahan.
“ Anak mama kenapa? Lapar? Tak...? owh... anak mama mengantuk ya? Takpe, mama tidurkan ya?” Lantas bantal kecil ditekup ke muka anak itu. Terkejut besar dia melihat tindakan wanita itu. Pantas wanita itu dihampiri, dan ditolak kuat. Tingkahnya kalut, apabila anak kecil itu kehilangan suara.
“ Awak hilang akal ke apa?” Hanya senyuman sinis yang dihadiahkan dari bibir pucat itu. Tanpa mempedulikan wanita itu, dia bingkas keluar dari bilik menuju kepada kereta.
“ Abah nak ke mana?” Suara halus itu menghentikan langkahnya. Lantas dipaling kepada anaknya yang berusia 7 tahun itu yang memimpin tangan adiknya berusia 4 tahun.
“ Adik sakit. Abah nak ke hospital. Eiqbal bawa Eliza tidur ya? Jangan lupa kunci pintu.” Dia bergegas pergi meninggalkan anaknya termangu-mangu sebelum mengangguk faham.
* * *
“ Kau ni tak habis-habis menyusahkan aku.” Nyaring jeritan wanita itu sehinggakan dia yang berada diluar sedang membersihkan kereta bersama dengan Eiqbal mendengar lengkingan suara wanita itu. Pantas dia berlari masuk ke dalam rumah. Di dapur, dilihat anak kecil itu menangis teresak-esak sambil merayu dilepaskan. Kelihatan serpihan kaca bersepah dilantai. Tidak henti-henti tubuh kecil itu dilibas dengan sudip kayu. Pantas dia menahan tangan itu dari singgah ke tubuh kecil itu. Anak kecil itu dirangkul erat.“ Kenapa dengan awak ni?” Dia mendukung tubuh kecil itu. Wanita dihadapannya dipandang tajam.
“ Kenapa apa?”
“ Yang awak pukul dia macam orang hilang akal ni kenapa? Tak kan sebab dia pecahkan pinggan awak nak pukul dia sampai luka-luka macam ni?”
“ Awak apa tahu? saya penat tahu tak? Sikit-sikit bagi pecah barang.”
“ Kalau ya pun, jangan la pukul anak sampai macam tu sekali. Bukan besar mana pun salah dia.”
“ Kecil-kecil tak nak mati, besar menyusahkan orang.” Tanpa perasaan sebagai seorang ibu, wanita itu menuturkan kata-kata sedemikian. Dia mencerlun ke arah wanita itu.
“ Awak sedar ke tak apa yang awak cakap ni?” Tiada jawapan selain jelingan tajam tanda menyampah.
“ Awak sedar tak yang ni? Eme ni anak awak. Awak mengandungkan dia. tergamak awak cakap macam tu pada dia?”
“ Alah, awak sendiri tak suka dia. awak sendiri menyampah dengan dia sampai nak bunuh dia. kenapa tak nak mengaku.” Kata-kata wanita itu membuatkan dia terpana. Sungguh, dia terkejut dengan bait-bait yang keluar dari bibir wanita itu.
* * *
Disudut belakang halaman rumah, kelihatan anak kecil itu sedang duduk bersila sambil tangannya mengusap-usap anak kucing di ribanya. Sambil bibirnya kumat-kamit berbicara dengan hamba Allah yang tidak mengerti apa-apa pilihan selain mengiau mengiakan kata-kata tuannya. Dia tersenyum dengan keletah anak kecil itu yang pelbagai.“ Ketot, kasihan pada Eme kan? Hari ni Eme kene pukul lagi. Nampaknya Eme kena pakai baju lengan panjang la lepas ni. Kalau tak, nanti orang nampak tangan Eme ada luka. Malu.” Tutur anak kecil itu sampai ke pendengarannya. Dia menarik nafas panjang.
“ Tapi kan, kasihan lagi pada kau Ketot. Sekurang-kurangnya, Eme ada babah, ada mama, ada Abang Eiqbal, ada Kak Elly. Tapi kau Ketot, kau seorang aje. Takpe, Eme teman kau ek?” Kali ini bibirnya menyungging senyuman kelucuan dengan kata-kata anak kecil itu.
“ Ketot, walaupun Eme selalu kene pukul kan, tapi Eme tak marah. Sebab, ustazah Eme cakap, ibu pukul anak sebab ibu sayang pada anak-anaknya. Jadi, Eme tahu mama sayang pada Eme, tu sebab mama selalu pukul Eme.” Dia menarik nafas panjang. Andailah si anak tahu perasaan sebenar ibunya.
“ Ketot, Eme pelik la. Kenapa kan, rambut Eme, mata Eme, muka Eme, langsung tak sama dengan mama, dengan babah, dengan Abang Eiqbal, dengan Kak Elly?” Terasa nafasnya semput. Tiba-tiba anak kecil itu berpaling. Bersinar wajah itu melihat kehadirannya.
“ Babah mengendap Eme ye?” Dia hanya tersenyum hambar.
“ Babah, Eme nak tanya boleh?” Dia mengangguk.
“ Anak haram tu apa?” Lemah lututnya mendengar soalan yang keluar dari bibir kecil itu terasa dunia seakan berhenti berputar. Sekelilingnya menjadi kabur. Ternyata soalan yang paling ditakuti sudah dikemukakan kini dari anak kecil itu. Malah, sungguh dia tidak menyangka harinya akan sampai secepat itu.
* * *
Dia menghela nafas berat. Buat kali ke berapa dia sendiri tidak pasti. Apa yang dia tahu, hatinya gundah. Terngiang-ngiang kata-kata wanita itu di cupin telinganya. Terbayang-bayang tindakan terburu-burunya yang hampir meragut nyawa yang tidak berdosa. Dia meraup wajah. Menyesal dengan perasaan sendiri.Wajah jernih yang sedang lena itu ditatap dengan penuh kasih. Emerald Uzma. Secantik nama diberi, sejernih itu perilaku anak kecil berusia 5 tahun itu. Biarpun kewujudannya bukan dari hubungan yang sah, namun diakui kasihnya pada anak itu tidak berbelah bagi. Sama seperti anak-anaknya yang lain. Baik Eiqbal, baik Eliza, kesemuanya menjadi buah hatinya pengarang jantungnya.
Rambut yang ikal keperangan semula jadi itu diusap lembut. Kasih pada anak yang tidak berdosa itu mekar seiring dengan umurnya. Biarpun dimarah, dipukul berulang kali, bibir mungil itu tidak lekang dengan senyuman. Tuturnya sentiasa menyenangkan orang disekelilingnya. Tangannya beralih kepada tangan kecil itu. Sebak menebal dalam diri apabila melihat lengan kecil itu penuh dengan birat-birat kesan dipukul. Jemari kecil itu juga kasar, akibat dikerah membuat pelbagai kerja. Namun, sedikit pun anak kecil itu tidak mengeluh, malah sentiasa tersenyum seperti tiada masalah.
Eme, babah sayang anak babah. Semua anak-anak babah, babah sayang. Takde beza pun antara Eme dengan Abang Eiqbal dan Eliza. Maafkan babah atas apa yang berlaku. Babah tak mampu nak betulkan kesilapan babah dan mama. Tapi, babah yakin, anak babah seorang yang kuat, cekal, tulus. Babah yakin. Babah yakin dengan anak babah, anak babah yang sejernih emerald.
3 ulasan:
still tak paham
adeh~~~~ daku terluka... huhuhuh..... xper2.... insya allah.... satu hari nnt semua tuh akan terungkai....
salam...
cyan kat eme...
fhm walaupun dlm novel blm lagi hbs...
eme anak haram hbngn mama die dgn kwn babah eme,benz...
Catat Ulasan