baiknyer~ diorg nieh~

April 30, 2010

Kasih yang terbagi

Suasana petang itu seredup hatinya. Angin bertiup perlahan bagai memberi ketenangan pada jiwanya. Dia mendongak melihat langit ciptaan-Nya. Biarpun kepul-kepul awan putih yang tebal berlegar, namun tidak menunjukkan tanda-tanda untuk hujan. Didada langit itu cerah dan biru. Pandangan dibuang jauh ke penghujung lautan. Garisan berwarna keunguan pertemuan antara biru lautan dan jingga mentari petang diperhati bagai mencari penghujungnya. Sesekali rambut yang keperangan semula jadi beralun tanpa rentak disapa angin itu diselit kebelakang telinga. Lantas kaki diatur menuju batu besar sebelum punggung di letak perlahan. Disisinya kelihatan balang kaca sebesar pemeluk dan kertas memo kecil berwarna biru dan ungu. Balang kaca itu separuh terisi dengan hasil kerja tangannya. Dia tersenyum.

***

“ Sarah tak mahu!” Petang itu, banglo putih seakan bergegar dengan jeritan nyaring Sarah Inani. Tergamam Suraya mendengar suara nyaring anak sulungnya.

“ Sarah, sampai bila Sarah nak jadi begini? Setiap kali cuti sekolah Sarah balik ke rumah Mak Pah. Jarang sekali Sarah mahu pulang ke rumah. Kalau balik Penang pun setakat dua tiga hari saja.” Sarah Inani hanya membungkam mendengar suara lirih ibunya. Bukan dia tidak mahu pulang ke rumah, tapi dia tidak betah berlama-lama di sini. Semua kerana insan itu.

“ Sarah janji Sarah akan balik ke rumah setiap kali cuti sekolah. Tapi mama tak perlulah sampai suruh Sarah tukar sekolah. Sarah suka sekolah tu.” Suraya menggeleng kepala sebelum melepaskan nafas berat.

“ Baiklah, mama anggap itu sebagai satu janji.” Tutur Suraya sebelum berlalu pergi. Sarah Inani berdengus kasar.

Baru sahaja dia mengangkat punggung kelihatan Sihran Iftiqar berlari anak menuju ke pintu utama. Selang beberapa saat kedengaran bunyi motosikal memasuki perkarangan rumah.

“ Abang Reza ada belikan benda tu itu Iqqy tak?” Mendengar suara manja Sihran Iftiqar membuatkan Sarah Inani berdengus kasar buat sekian kalinya. Ini antara sebab kenapa aku tak gemar balik rumah. Kalau dengan aku tak pula Si Iqqy tu berkejar ke pintu. Dengan Hamba Allah tu boleh pula sampai tak cukup tanah berlari. Sarah Inani berlalu masuk ke biliknya.

***

Sarah Inani menngheret kaki menyusur pantai Teluk Bahang dengan malas. Suasana pantai yang sibuk itu langsung tidak menarik perhatiannya. Lantas kaki diatur menuju ke batu besar dipersisiran pantai. Sambil kakinya menyepak perlahan air laut, lagu Here Comes The Rain-A1 sengaja dikuatkan volum sehingga memekakkan pancainderanya. Ralit dengan lagunya sehingga konsetransinya diganggu dengan cuitan di bahu kanannya. Sarah Inani berdengus melihat Reza tersenyum manis kepadanya sebelum meletakkan punggung berdekatan dengannya.

Sarah Inani langsung tidak mengambil peduli insan disebelahnya itu, terus melayan lagu-lagu dalam iPodnya. Namun, alunan lagu yang sayup-sayup menjengah telinganya membuatkan dia memperlahankan suara iPodnya itu. Alunan biola menyanyikan lagu perlahan meruntun jiwa pada sesiapa yang mendengarnya. Seketika kemudian kelihatan beberapa orang mengerumuni batu besar itu. Sarah Inani mencabut earphone dari telinganya. Pandangan yang bersulam rasa tidak percaya dituju khas buat Reza yang sedang asyik menggesek biolanya. Bunyi tepukan mematikan lamunan Sarah Inani. Sementara Reza tersenyum.

“ Macam mana? Terpikat?” Sarah Inani berdengus kasar.

“ Mama cakap, Sarah suka lepak di sini.” Sarah Inani hanya membatukan diri. Sekali lagi dia terpaku apabila Reza kembali mengalunkan biolanya. Lagu yang tidak diketahui tajuknya itu menyentuh hatinya. Sayup dan gemersik pada pendengarannya.

“ Ada apa cari saya sampai ke sini?” Reza tersenyum. Pertanyaan Sarah Inani tidak dijawap sebaliknya gesekan biola menjadi semakin rancak.

“ Abang tahu Sarah benci abang dangan ayah.” Tutur Reza yang perlahan itu membuatkan Sarah Inani berpaling laju.

“ Siapa cakap?” Reza hanya tersenyum. Biola ditangan diletakkan ketepi.

“ Orang cakap, hati dan perasaan kita tidak boleh pertikaikan. Perasaan itu terlalu luas untuk disorok dalam hati manusia yang kecil.” Tutur Reza tanpa memandang Sarah Inani.

“ Saya tak benci siapa-siapa pun.”

“ Tak benci, tapi sentiasa mengelak dari kami?” Reza masih tidak mengalihkan tumpuan pada biolanya menutur tenang. Sarah Inani menjeling. Sibuk je orang tua ni.

“ Orang tua-tua cakap, kalau kita asyik menjeling, nanti kita jatuh sayang pada orang yang dijeling.” Sarah Inani mengepam pipi, geram dengan sikap Reza yang dirasakan tidak tahu malu itu. Muka tembok, getus hatinya.

“ Abang suka lagu tadi. Dan abang rasa Sarah pun macam tu juga, kan?” Eh? Apa motif orang tua ni bagitahu aku dia suka lagu tu ke tak. Ada ke aku ambil kisah?

“ Bukan masalah saya.” Tutur Sarah Inani dingin. Reza hanya tersengih sebelum mengangkat punggung dari duduknya.

“ Jom la balik. Dah nak maghrib ni.” Tuturnya tenang sambil menghulurkan tangan pada Sarah Inani.

“ Saya boleh bangun sendiri.” Sarah Inani menepis kasar tangan Reza. Biarpun pelbagai tindak-tanduk, tutur kata yang kasar dilemparkan pada insan yang bernama Reza ini, hanya senyuman dan tawa kecil yang diterima sebagai balasan. Sarah Inani buntu. Apa tidak punya perasaankah dia?

* * *

“ Along, Iqqy nak tunjuk satu benda ni.” Sarah Inani mengangkat kepala dari novel ditangannya. Berkerut dahi Sarah Inani apabila melihat Sihran Iftiqar memegang biola ditangannya.

“ Iqqy nak buat apa dengan biola tu? Baik Iqqy pergi letak balik kat tempat dia sebelum...” Kata-katanya terhenti apabila Sihran Iftiqar menggesekkan biola mengalunkan lagu Hari Jadi.

“ Selamat hari jadi Along. Penat tau Iqqy suruh Abang Reza ajar Iqqy macam mana nak main lagu ni.” Sihran Iftiqar tersengih sambil berpura-pura mengesat peluh di dahi. Sarah Inani tersengih.

“ Terima kasih buat adik Along yang comel lagi nakal ya amat ni. Tapi kan, hari jadi Along dah lepas la. Dah 3 bulan pulak tu.” Ucap Sarah Inani sambil ketawa kecil. Sihran Iftiqar menepuk dahi.

“ Bukan bulan ni ke?” Sarah Inani menggeleng kepala.

“ Ala... penat je belajar. Kasihan pada Abang Reza kena balik tiap-tiap minggu sebab nk ajar Iqqy.” Sarah Inani mengerut dahi.

“ Dia balik tiap-tiap minggu?”

“ Dia? Dia tu siapa?” Sihran Iftiqar menganggaru kepalanya yang tiba-tiba gatal. Sarah Inani menjulingkan kepala.

“ Reza la...”

“ Owh... Abang Reza la Along.”

“ Apa-apa aje lah. Dia balik tiap-tiap minggu ke?” Sihran Iftiqar menangguk kepala sebelum berlalu pergi. Sarah Inani terkesima.

* * *

Lagu yang beralun lembut itu menarik perhatiannya. Sejak dari mula cuti sekolah lagi lagu itu akan berkumandang dalam rumah. Kakinya mengatur langkah menuju ke arah bunyi lagu itu di bangsal belakang rumah. Kelihatan Reza sedang asyik mengalunkan lagu yang tidak diketahui tajuknya dengan telinga disumbat dengan earphone MP3 Sony Ericson. Sarah Inani semakin bersemangat untuk mengetahui lagu yang sering menjadi gesekan Reza.

“ Lama ke Sarah berdiri di situ?” Sarah Inani seakan tersedar. Dia tersengih menahan malu.
“ Saya minta maaf, dah ganggu awak.” Tuturnya perlahan.

“ Takpe. Mesti Sarah ada sesuatu nak cakap dengan abang.” Reza menggamit Sarah Inani menghampirinya, sambil mengalih duduknya memberi ruang untuk Sarah Inani duduk disebelahnya.

“ Takpe. Saya cuma tertanya-tanya kenapa awak suka sangat main lagu-lagu yang macam ni?”

“ Lagu yang macam mana?”

“ Lagu-lagu yang sedih-sedih macam ni. Lagu-lagu yang meleret macam awak main tadi.” Reza ketawa.

“ Sedap apa lagu macam tu. Lagu-lagu macam tu kan boleh menenangkan hati.” Sarah Inani mengjulingkan matanya.

“ Sekurang-kurangnya, DBSK setanding dengan A1.” Terbuntang mata Sarah Inani mendengar kata-kata Reza.

“ Awak dengar IPod saya?” Sekali lagi Reza ketawa besar.

“ Sarah, Sarah, fikiran Sarah penuh dengan benda yang negetif. Apa salahnya andai sesekali selitkan baik sangka pada orang lain?” Tutur Reza tenang sambil menghulurkan MP3 Sony Ericson berwarna hitam itu kepada Sarah Inani sebelum berlalu.

* * *

Sarah Inani mengerutkan dahi. Lagu apa ni? Kenapa bagi aku dengar lagu yang ntah apa-apa bahasa ni? Dia memeriksa senarai lagu. Bertambah-tambah kerutan didahinya melihat lagu yang bertajuk dengan tulisan yang bukan roman itu. Satu demi satu lagu dimainkan sehingga sampai ke satu lagu yang menarik perhatiannya. Dengan kelam kabut juga dia membuka laptop dimejanya mencari informasi tentang lagu dan penyanyi dalam MP3 itu.

* * *

“ Saya nak tanya awak sesuatu.” Reza yang sedang mengadap laptopnya mengangkat kepala.

“ Sarah nak tanya apa?” Sarah Inani menghulur MP3 hitam itu kepada Reza.

“ Saya tak faham motif awak bagi saya MP3 ni.” Gumam Sarah Inani perlahan.

“ Tapi lagu-lagu dalam MP3 ni seronok kan?” Tiada jawapan dari Sarah Inani.

“ Terutama lagu yang ini.” Reza menunjukkan klip lagu dari dalam laptopnya. Mata Sarah Inani tidak berkelip memandang skrin laptop.

“ Abang suka lagu ni. Walau abang tak faham lagu dia, tapi makna boleh dicari. Dan lagu ni abang rasa sesuai kut dengan Sarah. Tambah-tambah penyanyi dia kacak-kacak belaka.” Tutur Reza sambil ketawa kecil.

“ Saya tahu awak suka sangat dengan lagu ni. Kalau tak, tak kan awak boleh main lagu ni sendiri dengan biola tu.”

“ Biola tu hadiah pertama dan terakhir dari ibu abang. Dan abang cuma main lagu-lagu yang abang suka saja dengan biola tu.” Sarah Inani terbungkam. Biarpun Reza kelihatan seperti orang yang tidak sembereno, tapi ternyata dia tersilap dalam menilai. Sebab itu orang tua-tua selalu cakap, jangan menilai buku melalui kulitnya saja.

Melihat cara Reza berpakaian, dengan seluar jeans lusuh yang koyak di hujung bagai tidak berbasuh sebulan, t-shirt yang terlukis tulisan-tulisan yang merepek, menaiki motorsikal RXZ bagai mat rempit yang tidak punya pegangan hidup, merapu dengan kata-kata seperti orang tidak cukup akal, sesiapa pun tidak menyangka peribadi Reza yang sebenarnya berbeda dari yang terpamer.

Siapa sangka manusia yang kelihatan seperti budak sememeh rupa-rupanya bakal bergelar doktor 2 tahun akan datang, insya-allah. Siapa sangka manusia yang suka merepek dengan gurauan yang merapu-rapu sebenarnya bukan sekadar tin kosong. Kata-katanya sentiasa bersulam dengan nasihat sering kali membuatkan orang sekelilingnya berfikir panjang. Siapa sangka manusia yang kelihatan seperti rockers jalanan rupa-rupanya mempunyai peribadi yang lembut, menyukai hasil-hasil seni origami. Tambah mengejutkan lagi, dia langsung tidak menyangka orang seperti Reza menyukai dancing boygroup dari Korea, Dong Bang Shin Ki yang selama ini hanya digilai orang golongan perempuan sepengetahuannya. Memang menggelikan hatinya apabila melihat Reza bersungguh-sungguh menceritakan kumpulan kegemarannya.

* * *

Dia memandang laut dengan tangan yang masih ligat melipat kertas memo itu. Sesekali matanya memandang balang kaca yang sudah separuh penuh dengan burung jenjang berwarna biru dan ungu hasil tangannya sendiri.

“ Jauh adik abang termenung. Ingat pakwe ke?” Sarah Inani menjeling tajam. Reza ketawa besar.

“ Kan abang dah kata, jangan jeling orang, nanti orang yang dijeling tu la yang dirindu.” Reza tersengih apabila Sarah Inani memandangnya tanpa berkelip.

“ Bukan rindu, tapi dah jatuh sayang.” Terus sengihan Reza termati. Dia memandang Sarah Inani tanpa berkelip bagai meminta penjelasan. Sarah Inani tersenyum. Masing-masing berbalas senyuman.

“ Terima kasih.” Reza tersenyum sambil mengerut dahi.

“ Terima kasih abang.” Kali ini kepala Reza bagai dilipat 180 darjah. Sarah Inani ketawa kecil.
“ Terima kasih sebab balik Penang tiap-tiap minggu untuk ajar Iqqy main lagu tu untuk Sarah.” Reza masih terpinga-pinga terkebil-kebil memandang Sarah Inani.

“ Dan terima kasih sebab membuka mata Sarah yang selama ni sengaja di tutupkan.” Sarah Inani memandang Reza yang turut memandangnya sebelum kedua-duanya tersengih.

“ Sarah nak buat apa lipat burung ni banyak-banyak?” Sarah Inani hanya menjongket bahu. Seronok benar dia mengusik Reza.

“ Sarah...”

“ Hm...” Sarah Inani tidak mengalihkan pandangannya pada lipatan kertas ditangannya.

“ Bahagiakah?” Sarah Inani tersenyum. Tiada jawapan, biarpun hatinya berbunga. Siapa sangka hati yang tertutup kini terbuka. Rasa benci yang sengaja disemai nampak gayanya gagal. Siapa sangka orang yang kelihatannya seperti endah tak endah penuh dengan kejutan. Dengan sikap yang prihatin dan lembut. Belum lagi dikira dengan minat yang tidak disangka-sangka. Ingat ini cerita drama Korea ke bila mat rempit boleh ajar aku cara lipat origami dengan main biola lagu meleleh dari kumpulan dance boygroup DBSK yang selama ini hanya diminati oleh gadis-gadis sahaja. Atau mungkin majoritinya lah kan?

Sarah Inani mengeluh perlahan. Peliknya rasa bila kasih terbagi pada orang yang macam ni. Ya, kini dia akui, membuka hatinya menerima kehadiran seorang abang yang prihatin dan bertanggungjawap walaupun kadang-kadang bersikap sengal seperti kanak-kanak riang. Kasih yang terbagi ini pasti memberi kebahagiaan yang diimpikan olehnya selama ini. Amin.

1 ulasan:

Miss Kira berkata...

hahaha...

skrg ni Kira x smpt nk jenguk2 blog org.. hehehe.. cibuk ngan asgnment..huhuhu...

skrg bru leh bernafas sket..
hahahaha...

:P

(^0^) ErimO pAda SeOranG Nem0 (^0^)