Pengembaraan
Erika dan Tok Pinno – Pertembungan dengan Belalang
Erika menundukkan kepalanya. Puan
Eliza mencekak pinggang, manakala Encik Ehsan hanya mampu menggeleng kepala.
“ Cuba Eri bagitahu Ibu, kenapa Eri
tipu Fahmi?” Suara Puan Eliza keras bertanya kepada anak tunggalnya.
“ Eri tak tipulah Ibu. Mana ada Eri
menipu.”
“ Habis, yang Eri suruh Fahmi minum
sabun Dinamo tu kenapa?” Mahu dia
tidak melenting apabila Puan Farah memberitahunya Eliza menyuruh anaknya, Fahmi
minum cecair pencuci sehingga keracunan.
“ Fahmi yang tanya Eri, macam mana
nak putih. Eri cakaplah, sabun tu
boleh bagi kotoran degil hilang.” Serentak itu Encik Ehsan ketawa kecil. Puan
Eliza menjengil mata kepada suaminya.
“ Ya Allah Eri, punyalah banyak
makanan dalam dunia ni, kenapa Dinamo
tu juga yang kamu suruh Si Fahmi tu minum.” Puan Eliza memicit dahinya.
Pening dengan kerenah anak daranya yang baru menginjak umur sepuluh tahun.
“ Eh? Bukan kalau baju kotor ibu
letak Dinamo ke? Lepas tu mesti baju tu
jadi putih, bersih.” Erika dengan muka tidak bersalah menjawap soalan Puan
Eliza. Ketawa besar Encik Ehsan mendengar jawapan paling bernas dari bibir
Erika, Puan Eliza terduduk.
“ Eri...” Puan Eliza mengetab bibir,
geram dengan sikap loyar buruk Erika.
“ Ya...”
“ Cuti sekolah ni Eri duduk dengan Mak Tok. Ibu batalkan percutian ke Genting yang
Ibu dah janjikan hari tu.”
“ Mana boleh macam tu.” Bentak Erika.
“ Boleh ke tak boleh, Ibu dah buat
keputusan. Dah banyak kali Ibu sabar dengan Eri. Bukan kali ni saja Eri tipu kawan-kawan Eri. Dulu,
Si Syafik tu mujur tak hilang dalam
hutan, sebab Eri cakap kat hutan tu
ada kuda bertanduk.”
“ Pegasus la Ibu...” Puan Eliza
menjegil mata.
“ Lepas tu Si Mira tu, sanggup
masuk belukar kat hujung taman semata-mata nak cari rumah orang kenit, konon
nak jadi Snow White, nak jumpa putera.”
“ Eri cerita je, bukan suruh mereka
pergi sana pun.” Mata Puan Eliza mencerlung kepada anak tunggalnya.
“ Tak kiralah Eri cerita ke, apa ke,
cuti sekolah ni takde Genting. Duduk dengan Mak Tok.”
“ Ala... Kenapa pula? Eri bukan buat
salah pun?” Puan Eliza menjegil mata.
“ Tak buat salah? Buat cerita tipu
sana-sini, tipu kawan-kawan dengan cerita merepek tu, tak salah?” Erika
mencebik bibir.
“ Hidung tu panjang nanti kalau asyik menipu.” Ugut Puan Eliza.
“ Eri bukan Pinocchio la Ibu.” Terdiam Puan Eliza
mendengar jawapan yang terbit dari bibir mungil itu. Sudahnya dia menghela
nafas panjang.
* * *
Erika duduk menongkat dagu ditepi tangga, bibirnya
dicebirkan melihat ayam itik Mak Tok yang berkeliaran di halaman rumah.
“ Tak elok anak dara duduk ditengah-tangah laluan
tangga. Kahwin lambat nanti.” Suara Tok Abah menjengah telinga Erika. Dia
membetulkan duduknya.
“ Ala Tok Abah, Eri budak lagi la, belum lagi jadi
anak dara.” Tok Abah ketawa kecil.
“ Tak kira la budak kecil ke, budak besar ke, kalau
dah nama pun perempuan, asal belum kahwin, tetap dipanggil anak dara.” Erika
mengangguk kepala tanda faham.
“ Kira Eri ni anak daralah ya Tok Abah?” Tok Abah
ketawa senang mendengar soalan Erika yang lurus bendul itu.
“ Abahnya, kami nak balik dah ni.” Suara Puan Eliza membuatkan tawa Tok Abah dan senyum Erika
termati. Puan Eliza mengusung beg pakaian kecil menuruni anak tangga di anjung
rumah kampung itu.
“ Hm..
Yalah.”
“ Abahnya, jangan pula cerita kat budak ni cerita-cerita merepek. Nanti habis
dicanangnya kat budak-budak kat taman tu.
Jenuh nanti saya menjawap dengan mak bapa budak-budak tu kalau apa-apa jadi kat anak mereka.” Erika menjeling ibunya. Tak
habis-habis ungkit cerita lama. Dah lapuk la Ibu, gumamnya.
“ Alah, dulu kamu pun suka juga menyakat budak-budak
kampung dengan cerita kamu.” Erika ketawa besar mendengar Tok Abah memulang
paku buah keras kepada Puan Eliza. Merah wajah Puan Eliza menahan malu
diketawakan oleh anak dan bapanya.
* * *
Erika terhendap-hendap tingkap kecil pada bangsal
dibelakang rumah. Bangsal kayu itu betul-betul menarik minatnya untuk
menjelajah isi dalamnya. Tambahan pula, kerap kali kelihatan Tok Abah masuk ke
dalam bangsal kayu itu. Lama pula tu. Apa yang Tok Abah buat dalam ni ya?
“ Eri buat apa?” Terkejut Erika apabila mendengar
suara Tok Abah dibelakangnya. Perlahan-lahan dia memusingkan badan, takut
dimarahi Tok Abah. Tambahan pula, Puan Eliza sesalu bercerita yang Tok Abah
garang orangnya.
“ Er...”
“ Eri mengendap Tok Abah ya?” Erika menunduk. Persis
orang bersalah. Padahal memang salah pun.
“ Eri bosan, Tok Abah selalu hilang dalam bangsal.”
Tok Abah tersenyum.
“ Mari masuk. Kenapa tak bagitahu Tok Abah yang Eri
bosan?” Tok Abah membuka pintu bangsal yang berkunci itu. Bercahaya-cahaya
kegembira mata Erika apabila dipelawa masuk ke dalam kawasan larangan Tok Abah.
“ Tok Abah bukan tak nak bagi Eri masuk sini, tapi,
bangsal ni banyak habuk. Takut nanti
Eri tak tahan.” Terang tok Abah samba tersenyum-senyum melihat Erika begitu
takjub dengan suasana bangsal itu. Bangsal itu menjadi tempatnya bertukang,
melakukan kerja-kerja ukiran, penuh dengan hasil-hasil kerja tangannya.
“ Wah, Eri
tak tahu pun Tok Abah pandai buat semua ni.”
Satu per satu hasil kerja Tok Abah
dibelek Erika dengan senyuman tidak lekang dibibir.
“ Tok Abah, cantiknya.” Erika tersenyum dengan
pandangannya silih berganti pada Tok Abah dan sebuah patung kayu yang
tergantung di sudut bangsal.
“ Eri suka?” Tok Abah mengambil patung kayu itu lalu
dihulurkan kepada Erika. Erika tersenyum menyambung patung kayu itu.
“ Suka, cantik. Tok Abah buat sendiri?”
“ Ni patung pertama yang Tok Abah ukir sendiri. Masa
tu Tok Abah umur sepuluh tahun.
Patung ni dah umur enam puluh. Lagi
tua dari Eri.” Terkelip-kelip mata Erika, dengan bibir yang membulat
menunjukkan rasa takjub.
“ Tua dari Eri...” Berkerut dahi si comel itu.
“ Kenapa?”
“ Tok Abah, boleh beri patung ni pada Eri?” Tok Abah
ketawa.
“ Kalau Eri suka, ambillah. Tok Abah beri pada Eri.”
“ Yay... Lepas ni, kalau Tok Abah tak layan Eri pun takpe. Eri dah ada Tok Pinno.”
“ Tok Pinno?”
“ Ha’ah, Tok Pinno. Kan Tok Pinno ni macam Pinnochio?” Tok Abah menggeleng
kepala sambil ketawa.
“ Suka hati Erilah. Tapi, Erik tak takut ke?” Wajah
yang tadi kegembiraan berubah riak.
“ Kenapa?”
“ Orang tua-tua kata, benda lama ni ada...”
“ Ada apa?” Tungkas Erika tak sabar.
“ Ada Cik Tu jaga dia...”
“ Aaahhh....
Tok Abah ni, tak nak kawanlah.” Erika
berlari keluar dari bangsal meninggal Tok Abah.
“ Tahu pula takut budak ni. Kalau menyakat orang, nombor satu. Tapi, patung tu nak pula dijinjit bersama.” Tok Abah
ketawa kecil sambil menyambung kembali kerjanya.
* * *
“ Eri, mari turun makan.” Mak Tok melaung dari
dapur. Erika buat tak endah saja. Bunyi derap kaki menaiki anak tangga papan
itu sedikit pun tidak mengganggu Erika. Sebaliknya dia masih tekun membaca buku
sambil tangannya memeluk Tok Pinnonya.
“ Ya Allah budak ni,
dah nak terkeluar anak tekak Mak Tok panggil turun makan. Berhentilah dulu baca
buku cerita tu.” Erika muncung apabila ditarik oleh Mak Tok turun ke dapur.
“ Eri baca buku apa?” Tanya Tok Abah sebaik saja
Erika menarik kerusi disebelahnya.
“ Nujum Pak Belalang.”
“ Mana dapat buku tu?”
“ Bangsal Tok Abah petang tadi.” Tok Abah dan Mak
Tok menggeleng kepala. Kegemaran Erika berkisar perkara-perkara dongeng itu
memang terlalu taksub.
“ Tok Abah, Mak Tok.”
“ Ya..” Serentak Tok Abah dan Mak Tok menyahut.
“ Belalang tu
pandai kan? Senang-senang je dia tipu
raja.” Kedua-dua orang tua itu menyuap nasi sambil menunggu Erika mengabiskan
ayatnya.”
“ Pinnochio pula tak boleh menipu kan? Nanti hidung
dia panjang. Tak cantik dah nanti.” Mak Tok dan Tok Abah saling berpandangan.
“ Apa akan jadi kalau Belalang jumpa Pinnochio ek?” Berkerut kedua-dua wajah tua itu
melihat Erika mengusap-usap dagu dengan senyuman terukir di bibir. Sukar untuk
ditafsirkan.
* * *
Erika terkebil-kebil melihat suasana
dihadapannya. Dia memusing badan memandang sekelilingnya. Pelik dan asing.
Erika mencubit pipinya. Sakit. Eh? Mimpikah? Dia memeluk Tok Pinno dengan erat.
“ Sakitlah.” Erika memandang
sekelilingnya mencari punca suara. Seram sejuk dibuatnya. Semakin erat dia
memeluk Tok Pinno.
“ Erk... mati aku..” Erika mengangkat Tok Pinno mengadap betul-betul
dimukanya. Terkelip-kelip matanya melihat Tok Pinno terbatuk-batuk dek kerana
sesak nafas dipeluk kuat oleh Erika.
“ Argh....” Erika menjerit. Tok Pinno dibaling jauh dek kerana
terkejut.
“ Aduh...” Tok Pinno bangun perlahan-lahan sambil menggosok kepalanya
yang terhentak pada tanah. Mujur berumput, kalau kena batu, arwahlah aku.
“ Sakitlah. Kau ni tak beradap pada orang tua. Macam ni la perangai budak-budak sekarang.” Tok Pinno mencekak pinggang
dihadapan Erika yang terduduk dek kerana terkejut.
“ Argh...” Erika menjerit lagi.
“ Argh...” Tok Pinno turut menjerit.
“ Apesal kau menjerit?” Tok Pinno bertanya.
“ Hantu... Argh...” Erika menyambung jeritnya.
“ Argh...? Hantu? Mana? Mana?” Tok
Pinno menjerit lalu berlari menyorok dibelakang Erika menyebabkan jeritan Erika
terhenti. Melihat Tok Pinno bersungguh-sungguh menyorok dibelakangnya
membuatkan Erika tersengih.
“ Kenapa Tok Pinno boleh bercakap?”
Erika melutut dihadapan Tok Pinno.
“ Kau ingat aku bisu?” Erika
menggaru kepala. Eh, kayu ni, buat kayu api kang.
“ Kita kat mana ni?” Erika memandang kelilingnya. Rasanya tadi dia cuma menjelajah
hutan kecil di belakang rumah. Sudahnya sampai di tempat asing. Pokok-pokok
semuanya besar-besar, sudah seperti berada di hutan simpanan pula.
“ Mana aku tahu, kamu yang bawa aku
ke sini.” Tok Pinno berlalu meninggalkan Erika. Erika bangun berlari anak
mengejar Tok Pinno yang mula jauh dihadapan.
“ Hey... jangan bergerak.” Jeritan lantang membuatkan langkah Erika
terhenti. Tok Pinno turut memandang sekeliling. Seorang budak kecil menghampiri
mereka sambil mencekak pinggang.
“ Kalian sudah hampir memusnahkan
jerat beta.” Tutur budak lelaki itu dengan reaksi angkuh. Erika memandang budak
lelaki itu dengan perasaan takjub. Aku jumpa anak raja? Namun, lamunannya
terhenti apabila mendengar Tok Pinno menjerit.
“ Aku tidak menipu. Kenapa pula
hidung aku memanjang?”
“ Eh? Hidung Tok Pinno memanjang kalau menipu? Macam Pinnochio la
pula.” Erika ketawa kecil.
“ Apa yang kelakarnya? Si tua Saad tu tak bagitahu kamukah?” Erika menggaru
kepala ditempelak Tok Pinno.
“ Sudah, berani kalian bertelagah
dihadap beta. Kalian memperbodohkan beta.” Tutur si anak raja dengan garang.
“ Maafkan kami Tuanku. Kami janji
tidak akan ulangi perilaku kami.” Erika mengangkat sembah sambil menunduk
sedikit kepalanya, melindungi mulutnya yang diherotkan tanda tidak puas hati.
Berlagak sungguh anak reja kenet ni.
Kusekeh nanti baru tahu.
“ Kalian dari mana?” Si Anak Raja
yang berlagak itu memandang Erika atas bawah.
“ Dan, makhluk apakah ini?” Langsung
dituju kepada Tok Pinno yang masih menggosok-gosok hidungnya yang semakin
panjang.
“ Psst... kenapa hidung aku makin tinggi ni?” Tok Pinno berbisik pada
Erika. Erika menggaru kepala dan menjongket bahu.
“ Saya Erika. Dan ini Tok Pinno.
Sahabat saya. Saya dari Ipoh, dan saya tak pasti macam mana saya boleh tersesat
disini dan berjumpa dengan Tuanku.”
“ Jadi kalian tersesat?” Erika
mengangguk kepala. Serentak itu kedengaran bunyi derap larian kuda membuatkan
Erika tersenyum lebar.
“ Itu pasti pengikut Tuanku sudah
sampai. Sudi kiranya Tuanku membantu saya untuk mencari jalan pulang?” Namun,
riak cuak pada wajah si anak raja membuatkan Erika pelik. Serentak itu dia
terpandang hidung Tok Pinno yang panjang itu.
“ Er.. Tuanku...”
“ Apa?”
“ Agak-agaknya kan, Tuanku ni anak
raja mana? Saya tidak pernah melihat Tuanku sebelum ini.”
“ Pastilah kamu tidak pernah melihat
beta. Kamu sendiri baru tersesat di tanah jajahan beta.” Serentak dengan
jawapan Si Anak Raja, hidung Tok Pinno memanjang lagi.
“ Jadi mengapa kita harus
menyembunyikan diri? Seharusnya kita mampir kepada mereka. Supaya mereka boleh
menolong kami untuk pulang kembali.”
“ Itu tentera beta yang sudah
berpaling tadah.” Dan mata Erika membulat apabila melihat hidung Tok Pinno
memanjang lagi. Lalu dia menghampiri si Anak Raja yang masih terhendap-hendap.
“ Saya paling tak suka orang yang
menipu.” Erika mencekak pinggang dihadapan si Anak Raja palsu, membuatkan Si
Anak Raja palsu terkejut.
“ Apa bukti Beta menipu?” Erika
menunding pada Tok Pinno yang berkerut-kerut mengusap hidungnya yang sudah
panjang hampir satu kaki.
“ Apa kena- mengena Beta menipu
dengan makhluk berkata-kata itu?”
“ Baik kamu bagitahu perkara yang
sebenarnya, sebelum kamu saya campak kepada tentera tu.” Ugut Erika memandang
budak lelaki yang bertubuh kecil dihadapannya.
“ Beta tidak menipu.” Tegas budak
lelaki itu.
“ Kalau macam tu, saya juga anak
raja di tempat saya.” Erika memeluk tubuh dihadapan budak lelaki itu. Tok Pinno
mengeluh. Hidungnya sudah semakin panjang.
“ Kamu menipu.”
“ Memang pun.” Jawap Erika , sinis.
Kali ini hidung Tok Pinno memendek sedikit.
“ Kamu tengok, hidung makhluk kayu
ini akan memanjang bila kamu menipu, dan kembali memendek bila saya bercakap
perkara yang benar. Jadi, sebelum saya hilang sabar, bagitahu saya kamu siapa,
dan kenapa kita mesti menyorok?” Budak lelaki itu memintal-mintal hujung
bajunya.
“
Tak nak jawap ke?” Diam juga.
“ Nama kamu?”
“ Belalang.”
“ Hah?”
“ Nama aku Belalang.” Erika melihat Tok
Pinno tersengih-sengih sambil menggosok-gosok hidungnya yang hanya tinggal
sejengkal saja panjangnya.
Erika tidak dapat menahan rasa geli
hatinya, lalu ketawa terbahak-bahak. Belalang terpinga-pinga.
“ Apa yang kelakar?”
“ Kamulah. Sungguh, tak sangka dapat
bertemu dengan kamu.”
“ Kenapa dengan diri aku?”
“ Kamu itu seorang terkenal ditempat
saya. Saya Erika. Seronok bertemu kamu Belalang.” Erika menghulur tangan
bersalaman.
“ Siapa tu?” Suara garau mengejutkan mereka bertiga. Tok Pinno sudah
menggeletar dibelakang Erika. Cepat-cepat mereka bersembunyi di dalam lubang
pada pokok besar.
“ Siapa tu?” Erika berbisik kepada Belalang.
“ Tak tahu. Sebenarnya aku pun
tersesat disini masa memikat burung tadi.” Erika menjeling hidung Tok Pinno.
Nasib baik tak panjang. Kalau tak, memang nak kena seligi budak ni.
“ Kau pula macam mana?” Erika
mengangkat bahu. Sebenarnya, dia sendiri tidak pasti apa dan macam mana dia
boleh berada di tempat asing ini. Dan,
pokok-pokok disini pelik-pelik. Berdaun oren dan merah jambu. Rumput yang
kebiruan.
“ Tok Pinno, kau jangan main
cuit-cuit aku la.” Tok Pinno pelik.
“ Bila masa aku cuit kau?” Erika
memandang Tok Pinno, hidungnya tidak memanjang. Erika meneguk air liur. Pantas
dia memandang belakang dan...
“ Argh....” Nyaring dan bergema jeritan Erika dalam hutan itu.
“ argh...” Belalang dan Tok Pinno turut menyambung jeritan Erika.
“ Sh.... Kalian mahu mati?” Erika, Belalang dan Tok Pinno cepat-cepat
menekup mulut. Takut. Bukan takut mati, tapi takut dengan wajah nenek kebayan
yang berselubung hitam dihadapan mereka. Nenek kebayan itu hanya tersengih
menayangkan giginya yang tinggal tiga batang. Kuning pula tu. Tak tahu berapa tahun tak gosok gigi.
“ Nenek ni siapa?”
“ Nenek? Nama nenek Kebayan. Boleh
panggil nenek, Nek Kebayan.” Erika menjuling mata. Haila, klise sangat. Tengok pun tahu memang spesis Nenek Kebayan.
“ Nenek buat apa di sini? Nenek
tinggal sini ke?” Erika cepat-cepat bertanya dalam nada berbisik. Tambahan pula
melihat para pengawal berkuda sedang mengelilingi kawasan itu seakan mencari
seuatu.
“ Nenek sedang menyorok dari
pengawal – pengawal tu.”
“ Kenapa pula?”
“ Ini taman larangan. Nenek pun tak
tahu macam mana nenek boleh masuk taman ni.” Erika terkebil-kebil.
“ Kalau nenek tak tahu macam mana
nenek boleh masuk sini, macam mana nenek boleh tahu ini taman larangan?” Nenek
Kebayan tersengih. Ish... menyampah pula tengok gigi rongak nenek ni.
“ Kamu mahu pulang?” Cepat-cepat
Erika mengangguk kepala. Begitu juga Belalang dan Tok Pinno.
“ Mari, ikut nenek. Tadi nenek ada
tengok lubang pelik di hujung taman ni.
Tapi, nenek tak tahu la lubang apa. Cuma, mengikut firasat nenek, nenek
rasalubang tu boleh bawa kamu pulang ke tempat sepatutnya kamu berada.”
“ Mana nenek tahu?” Tungkas
Belalang. Erika mengetuk kepala Belalang. Begitu juga Tok Pinno.
“ Sakitlah. Kenapa pukul aku?” Jerit
Belalang.
“ Shh.. kau nak mati?” Erika dan Tok Pinno masing-masing menekup
mulut Belalang.
“ Kau tak nampak ke pengawal
berpedang tu? Ke kau teringin kepala kau
tertanggal dari badan kau?” Erika menjegil mata kepada Belalang.
“ Tapi Nenek Kebayan ni boleh dipercayai ke?”
“ Kenapa pula?”
“ Kalau Nenek ni tipu kita? Mati terus tahu tak?”
Erika mencekak pinggang. Ish... susah pula nak cakap dengan budak
Belalang ni.
“ Kau ingat semua orang macam kau
ke? Suka menipu nak selamatkan diri sendiri?” Tempelak Erika. Eh... bukan aku
pun sama ke? Patutlah Ibu marah betul bila aku buat macam tu dengan
kawan-kawan. Ibu, Eri janji, lepas ni Eri jadi budak baik. Tak nak dah
tipu-tipu.
“ Siapa kamu semua ni?” Erika terkejut mendengar suara
garau betul-betul dibelakangnya. Perlahan-lahan dia berpaling, dan meneguk air
liur apabila melihat pengawal berwajah bengis sedang merenung tajam kepadanya. Nenek Kebayan sudah hilang
ke mana tak tahu.
“ Er... Encik Pengawal... tee...
hihihi...” Apa lagi yang mampu
dilakukan melainkan tersengih bak kerang busuk.
“ Siapa kamu?” Tegak badan Erika
mendengar suara kasar si Pengawal. Tok Pinno dan Belalang sudah berlari
menyorok di belakang Erika.
“ Kamu siapa?” Kali ini suara si
Pengawal semakin tinggi. Erika sudah menggeletar.
“ Kamu perisik ya? Ke sini kamu.
Kamu harus dihadapkan kepada Duli Yang Mulia Ratu.” Si Pengawal sudah
menghampiri Erika, dan mencapai lengannya.
“ Encik Pengawal, kenapa pula saya
kena mengadap Ratu?” Pengawal itu ketawa.
“ Untuk apa? Sudah pasti untuk
dihukum.” Erika meneguk air liur. Dia memandang Tok Pinno. Hidung Tok Pinno masih seperti biasa, bermakna si
pengawal tidak berbohong. Ibu, Mak tok, Tok Ayah, matilah Eri.
“ Hukuman apa?” Tergagap-gagap
Belalang bersuara.
“ Hukuman apa? Untuk penceroboh
seperti kamu, semestinya hukuman mati.” Tegas Pengawal itu.
“ Argh... tak nak mati....” Erika menjerit. Lengan Pengawal itu sehingga
terlepas. Pantas Erika menarik Tok Pinno dan Belalang berlari. Dari jauh
kedengaran jerit pekik kasar pengawal dan rakan-rakan mengejar mereka.
“ Berhenti...”
“ Tak nak.. tak nak mati..!!” Jerit
Erika bersambung-sambung dengan Belalang dan Tok Pinno. Mereka berlari tanpa
hala tujuan. Meredah hutan belantara asing yang dipenuhi pokok-pokok berdaunkan
warna oren dan merah jambu tanpa mempedulikan arah yang betul.
“ Argh....” Erika tergelincir, dan mereka jatuh bergolek. Belalang
sudah menangis. Tok Pinno sudah kepenatan. Dan suara-suara kasar semakin
menghampiri mereka.
* * *
“ Tak nak...!!! Tak nak mati...!!”
Erika meronta-ronta cuba melepaskan diri dari pegangan.
“ Ya Allah, Eri, bangunlah.” Mak Tok
menggoncang bahu Erika perlahan. Terkebil-kebil Erika melihat Mak Tok dan Tok
Ayah sedang tersengih dihadapannya.
“ Uh... Mak Tok...” Erika memeluk Mak Tok erat. Mak Tok terkejut
dengan sikap Erika, lalu pandangan dibuang kepada suaminya yang sedang
tersenyum melihat mereka.
“ Kenapa ni?”
“ Eri janji, Eri jadi budak baik
lepas ni. Tak nak dah cerita benda
pelik-pelik pada kawan-kawan Eri. Tak nak tipu-tipu mereka.” Ucap Erika. Mak
Tok terpinga-pinga.
“ Dah la, Eri mengigau ni. Tu
lah, tidur lagi lepas Asar. Bangun, pergi mandi. Maghrib dah nak habis ni.” Mak
Tok menggeleng kepala sebelum berlalu keluar.
“ Yalah, Eri bangun.” Erika bangun
sebelum memandang Tok Ayah yang masih tersenyum kepadanya.
“ Seronok tak pengembaraan?” Ucap
Tok Ayah sambil menggosok kepala Eri sebelum berlalu pergi. Erika
terkebil-kebil. Serentak itu matanya memandang Tok Pinno di sudut katil. Dan
Tok Pinno tersenyum lebar kepadanya sebelum mengenyitkan mata.
“ Argh... Hantu...” Erika berlari
turun mendapatkan Mak Toknya.
2 ulasan:
pengalaman.. atau fantasy..
btw.. nice ur cerpen..
cerpen ini fantasi semata2... tapi pencetus terhasilnya cerpen ini satu sejarah...
Catat Ulasan