21
L |
angkah kaki yang berterabur langsung tidak diendahkan, laju sahaja dia mundar-mandir sambil jemari yang runcing itu mengusap-usap dagunya yang licin. Sesekali jemari itu beralih kepada rambutnya yang pendek keperangan, habis dikusutkan dengan tindakan luar sedarnya.
“ Kau ni Eme, apa kes terlebih prihatin ni? Nanti Encik Boss tu mesti ingat kau tu takut kat dia. Sampai sibuk-sibuk nak jaga, beri ubat segala. Dia sakit, pergilah klinik. Dia nak ubat, minta la kat Kak Lina. Tak pun, pergi la ambil sendiri. Apesal kau serah diri kat dia pula?” Emerald mengetuk kepalanya sendiri. Langkahnya semakin tunggang-langgang, semakin laju dia mengira keluasan bilik yang tidak berapa besar itu. Bunyi telefon bimbit yang membingitkan telinga dengan suara katak menjerit memanggil hujan itu membuatkan dia cepat-cepat mencapai BlackBerry diatas meja.
“ Hah... Abang, nak apa?” Terus dia mengutarakan soalan selepas punat hijau ditekan.
“ Amboi, cantiknya bahasa. Salamnya mana adikku?” Emerald menepuk dahi. Kau ni Eme, dah tahu dah Abang Eiqbal yang telefon, sah-sah bunyi katak tu ringtone untuk Abang Eiqbal, nak juga main terjah. Ha... kan dah kena sedas.
“ Assalamualaikum Abang, maaflah. Orang terlupa.”
“ Sunat memberikan salam sesama Islam Adik, Wa’alaikumsalam.” Emerald meneguk air liur. Abang ni, telefon nak bagi ceramah ke?
“ Maaflah. Kan orang dah minta maaf. Abang telefon ni ada apa?”
“ Petang ni balik awal.” Emerald mengerut dahi. Aik? Pendeknya?
“ Er.. tu ayat penyata ke ayat bertanya?”
“ Buang question mark tu.” Emerald meneguk air liur. Abang Eiq dah keluar aura serius.
“ Ada apa Abang?”
“ Balik, abang tunggu Eme kat rumah petang ni.” Tap, serentak dengan bunyi ‘tuut...’, tanda talian sudah dimatikan, jantung Emerald seakan berhenti berdegup.
“ Wa’alaikumsalam...” Ucapnya perlahan, dengan riak wajah tertanya-tanya. Apa yang dah jadi? BlackBerry ditangannya ditenung. Pantas nombor Eiqbal ditekan, namun hampa apabila talian itu terus disambungkan kepada operator. Berkali-kali dia mencuba, tetap menemui nasib yang sama. Lalu bibir kecil itu melepaskan dengusan kasar.
“ Hish... tak habis-habis ‘perempuan simpanan’ dia yang jawap. Benci.” Jam dipergelangan tangan menunjukkan angka 5:30 petang. Pantas dia mencapai jaket dan topi keledar. Mencecet dia keluar.
“ Kak Nani, saya balik dulu. Ada hal di rumah. Apa-apa nanti Kak Nani jangan lupa mesej saya. Kalau Encik Boss tanya, kata saya dah balik. Sutun tu nanti saya mesej dia.” Terkebil-kebil Hanani apabila mendengar ketuanya berkata dalam satu nafas sahaja, sambil berjalan mencecet keluar tanpa memandang ke arahnya.
“ Pergi dulu Kak Nani...” Laung Emerald sambil melambai tanpa berpaling kepada Hanani.
“ Ya... hati-hati bawa motor.” Hanani hanya menggeleng kepala apabila melihat Emerald yang sempat mengangkat ibu jari kepadanya.
* * *
Ilyas Benjamin mengerut dahi. Matanya masih membaca patah perkataan pendek pada skrin telefon bimbitnya.
“ Nok, aku balik dulu. Abg Eiq buat gler... Urgent. Nanti, kalo ada news penting aku story kat ko. Chiow~~~” Ilyas Benjamin memicit pangkal hidung. Apa kes pula kali ni? Pantas dia bangun dari duduknya, langkah terus diatur menuju ke arah bilik Emerald yang cuma selang tiga partition darinya.
“ Kak Nani, Eme dah balik?” Hanani yang sedang menyusun kertas tersentak disergah begitu sahaja.
“ Kamu ni Ilyas, terkejut akak. Akak ni ada anak kecil tau, kalau akak gol sebab kamu sergah akak macam mana?” Ilyas Benjamin tersengih.
“ Kenapa? Cari Cik Eme? Dia dah balik. Baru je tadi.”
“ Dia cakap apa? Selalu mana nak balik awal-awal.”
“ Dia cakap ada hal kat rumah.” Ilyas Benjamin mengerut dahi. Hal apa pula kali ni?
“ Er... macam mana dia masa dia pergi tadi?”
“ Macam mana apa?” Ilyas Benjamin menggaru kepalanya yang terasa gatal. Hanani tersenyum penuh makna.
“ Yelah, macam mana keadaan dia masa pergi tadi? Selamba katak ke, macam biasa ke, ke kelam kabut?” Hanani memeluk tubuh, sambil jari telunjuknya menepuk pipi, kononnya sedang berfikir.
“ Kak Nani!!” Ilyas Benjamin mengetab bibir. Nak mainkan aku la tu. Ish... mak budak ni tak habis-habis nak menyakat aku. Hanani ketawa kecil.
“ Dia pergi macam biasa. Tak lah kelam-kabut sangat, tapi dalam keadaan kejar masa jugalah, sebab cakap pun senafas je, tak tengok kiri kanan terus blah macam tu je.” Ilyas Benjamin mengerut dahi, pantas telefon bimbit dikeluarkan, nombor Emerald ditekan, namun hampa apabila tiada yang mengangkat. Sudahnya, operator bergaji itu menjalankan tugasnya.
“ Tak angkatlah kak, alih-alih, perempuan simpanan dia yang jawapkan.” Hanani ketawa. Budak-budak ni macam-macam pe’el. Kasihan pada operator talian, tak pasal-pasal dapat title perempuan simpanan.
“ Perempuan simpanan?” Suara garau itu membuatkan Hanani dan Ilyas Benjamin lipat maut berpaling ke arah punca suara. Melihat susuk Bayu Muzaffar membuatkan keduanya berdiri tegak.
“ Siapa yang ada perempuan simpanan?” Wajah Ilyas Benjamin dan Hanani dipandang berganti-ganti.
“ Eh.. bukan perempuan simpanan yang itu, Encik Bayu. Maksud kami kat sini, perempuan simpanan tu, operator telefon yang jawap telefon tu.” Mendengar jawapan Ilyas Benjamin membuatkan Bayu Muzaffar menggelengkan kepala dengan senyum nipis menghiasi bibirnya.
“ Er... Encik Bayu nak cari siapa ke sini?” Hanani bersuara, jarang Bayu Muzaffar turun ke bahagian ini melainkan untuk berjumpa dengan Emerald ataupun Ilyas Benjamin.
“ Uzma. Dia takde ke?”
“ Owh... Cik Uzma dah balik. Dia ada hal di rumah. Kenapa Encik Bayu?” Bayu Muzaffar mengerut dahi sebelum tersenyum, cuba menutup gelojak di hati. Tsk.. kau ni Bayu, sejak bila jadi penyibuk. Gumamnya apabila bibirnya hampir menyuarakan ketiadaan Emerald.
“ Takpelah, saya nak pulangkan kembali barang-barang ni pada dia.” Hanani terkedu melihat selonggok ubat-ubat dilambakkan di atas mejanya, mata Ilyas Benjamin buntang. Pantas keduanya memandang Bayu Muzaffar dengan muka saya-tak-faham.
“ Takde apa, tadi saya tangguhkan perbincangan kami, saya kata saya tak sihat. Alih-alih dia datang hantar semua ni pada saya. Mujur tak mati keracunan je.” Mendengar penjelasan Bayu Muzaffar membuatkan Ilyas Benjamin dan Hanani meledakkan tawa.
“ Kenapa?”
“ Takde apa-apa lah Encik Bayu, dia tu memang macam tu. Bendul sikit.” Bayu Muzaffar tersenyum nipis. Bukan bendul sikit, bendul banyak tak boleh nak ubat dah. Gumamnya sambil berlalu pergi meninggalkan Ilyas Benjamin dan Hanani yang masih berbalas senyuman.
1 JutaJutaLem0n Yg PotPetPotPet:
nak lagi..x puas baca..
Catat Ulasan